Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanJohor

Uniknya Sewang Kelondang

By 26 Oktober 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto : Ezzaty Razimi/Latifah Salleh (Muar)

MUAR, 26 Okt (Malaysiaaktif) – Tarian Sewang Kelondang merupakan salah satu tarian tradisional yang berasal daripada masyarakat Orang Asli yang masih kekal sehingga hari ini.

Tarian ini asalnya diwujudkan bagi tujuan perubatan pada zaman dahulu namun kini telah diolah semula bagi tujuan persembahan dan hiburan.

Datuk Dr Sahruddin Jamal percaya program ini mampu mendekatkan masyarakat Orang Asli dengan jabatan dan agensi kerajaan.

Datuk Dr Sahruddin Jamal percaya program ini mampu mendekatkan masyarakat Orang Asli dengan jabatan dan agensi kerajaan.

Mengikut sejarah, tarian ini hanya dilakukan untuk upacara pengebumian, mengucap syukur atau merawat orang sakit atau terluka dan ia dipersembahkan dalam bentuk bulatan yang mana para penari akan mengelilingi alat muzik tradisional yang diletakkan di tengah bulatan tersebut.

Alat muzik yang diperbuat daripada alam semulajadi seperti ketukan buluh dan kayu akan mengiringi tarian tersebut di mana ketukan kelondang yang diperbuat dari kayu akan menghasilkan irama muzik yang mengasyikkan.

Menteri Besar Johor memukul kelondang sebagai gimik perasmian.

Menteri Besar Johor memukul kelondang sebagai gimik perasmian.

Identiti ini merupakan keistimewaan tersendiri etnik Orang Asli yang masih utuh sehingga ke hari ini meskipun arus permodenan semakin menghakis sentimen tradisional namun uniknya mereka tetap berpegang teguh pada adat dan resam.

Program Ramah Mesra bersama Menteri Besar Johor telah diadakan semalam, di Kampung Orang Asli Sentosa Lenga Muar yang melibatkan enam buah kampung orang asli di Muar dan Kampung Orang Asli Sentosa di mana penduduk di sini dianggarkan seramai 312 orang yang terdiri daripada 81 ketua isi rumah.

Pertandingan tarik tali yang dirasmikan oleh Menteri Besar Johor.

Pertandingan tarik tali yang dirasmikan oleh Menteri Besar Johor.

“Peranan Tok Batin perlu diperluaskan dan dipertingkatkan lagi bagi mencapai tahap kepimpinan yang maksima dalam memimpin masyarakat Orang Asli yang mana sebelum ini tanggungjawabnya hanya untuk menjaga keselamatan dan adat resam sahaja,” ujar Datuk Dr Sahruddin Jamal, dalam ucapan perasmiannya.

Menurut beliau lagi, program yang diadakan seperti ini dilihat mampu mendekatkan masyarakat Orang Asli dengan jabatan dan agensi kerajaan dalam memastikan mereka tidak ketinggalan dan setaraf dengan masyarakat kaum lain.

Pelbagai pengisian program diatur sepanjang dua hari satu malam ini, diantaranya ialah Ziarah Mesra Walk About Team Task Force ke beberapa rumah penduduk masyarakat Kampung Orang Asli Sentosa, pertandingan tarik tali, pertandingan sukaneka rakyat, pertandingan karaoke, pertandingan pakaian beragam, pameran jabatan dan agensi Kerajaan.

Turut hadir Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Johor, Faisal Long.
-NI-

Tinggalkan komen anda