Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanNegeri Sembilan

Pembentukan Akhlak Paksi Kecemerlangan Masa Depan

By 10 Oktober 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Hamidah Md Drus/Hasrulazlinda Hassan (Kuala Pilah)

KUALA PILAH, 10 Okt (Malaysiaaktif) – Seramai 500 orang pelajar Sekolah Menengah Sains Tengku Jaafar (SMSTJ) berserta ibu bapa telah menghadiri Majlis Anugerah Perdana 2019 yang berlangsung di Dewan Sri Bestari, SMSTJ, di sini semalam.

Majlis tersebut merupakan acara tahunan bagi SMSTJ bertujuan untuk memberi pengiktirafan kepada para pelajar, guru, pihak sekolah, anggota kumpulan pelaksana, ibu bapa serta pihak luar yang banyak memberi sumbangan kepada pihak sekolah.

Menurut Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun, beliau dimaklumkan  bahawa Persatuan Ibu Bapa Dan Guru (PIBG) sekolah ini sentiasa mengambil langkah proaktif bersama pengurusan sekolah dalam mencari dana bagi meningkatkan dana PIBG sekolah.

WhatsApp Image 2019-10-10 at 14.56.38

Aminuddin menyampaikan ucapan.

“Hubungan, kerjasama dan kolaborasi yang baik antara pihak sekolah dan PIBG memberi impak yang tinggi di mana keputusan yang cemerlang dapat diraih, tahniah atas kecemerlangan anak-anak semua,” ujarnya ketika berucap merasmikan majlis.

Aminuddin turut mengingatkan kepada para pelajar bahawa dalam keghairahan memburu kecemerlangan akademik, mereka tidak seharusnya mengambil ringan akan aspek kerohanian, akhlak, tatasusila dan kewarasan fikiran.

“Setiap pelajar berperanan menjana kecemerlangan dalam pelbagai cabang ilmu berasaskan akal budi yang luhur agar kejayaan secara menyeluruh dapat dicapai dan anak-anak kita dapat memenuhi aspirasi dan keperluan negara pada masa akan datang,” tambahnya lagi.

Dalam pada itu Kerajaan Negeri juga komited terhadap usaha memajukan kualiti pendidikan, antara inisiatif yang telah dilaksanakan ialah bantuan kepada tahfiz swasta, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan sekolah swasta dengan peruntukkan sebanyak RM3 juta, bantuan tambang bas bulanan RM50 bagi setiap keluarga yang berpendapatan rendah, Bantuan Anak Felda, dan Insentif Kecemerlangan Institusi Pengajian Tinggi (IPT).

Beliau juga mengumumkan peruntukan sebanyak RM5000 kepada SMSTJ dan RM25 ribu kepada PIBG bagi tujuan kecemerlangan dan pembangunan pelajar di sekolah tersebut.

Aminuddin turut menyampaikan Anugerah Penghargaan Khas Wira Negara kepada Aiman Afiq Suradi dari SMSTJ yang berjaya memenangi pingat gangsa dalam pertandingan WorldSkills Competition Kazan 2019, yang berlangsung di Rusia baru-baru ini.

-AK

Tinggalkan komen anda