
Laporan/Foto: Parameswary Lekshmnan (Kuala Lumpur)
KUALA LUMPUR, 19 Okt (Malaysiaaktif) – Peredaran masa dan ledakan teknologi yang semakin canggih menjadikan kehidupan seharian manusia kini banyak bergantung kepada barangan elektronik. Bukan sahaja bil elektrik yang meningkat malah kadar bahan buangan elektrik dan elektronik (e-waste) turut meningkat.
Justeru, kerajaan sedang merangka deraf peraturan e-waste bagi menangani masalah lambakan bahan yang mengandungi bahan kimia dan logam berat ini yang menjurus kepada pencemaran sisa toksik terhadap sistem tanah dan air bawah tanah Negara.
Tahap kesedaran rakyat Malaysia dalam perkara ini masih lagi rendah berikutan sebahagian besar barangan elektronik dibuang berakhir di tapak pelupusan bersama sisa pepejal harian lain.
“Sekarang ramai yang tidak tahu peti sejuk, bateri, telefon bimbit nak dibuang di mana dan ia dibuang bersama sisa pepejal lain kerana tiada pusat pembuangan yang khas dan tidak terurus, menyebabkan pencemaran alam sekitar,” ujar Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC), Yeo Bee Yin.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad dan Menteri MESTECC, Yeo Bee Yin semasa menyempurnakan perasmian Sambutan HASN 2019
“Oleh itu, kita mahu adakan satu rangka peraturan e-waste untuk manfaat jangka panjang dan lebih teratur termasuk kutipan, cara kitar semula dan bagaimana ia boleh membantu daripada segi ekonomi,” kata beliau lagi.
Menurut Yeo, rangka peraturan e-waste ini akan dibentangkan pada hujung tahun ini dan dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara untuk kelulusan sebelum berkuatkuasa secara menyeluruh pada tahun depan.
“Peraturan ini akan diumumkan secepat mungkin bagi memberi peluang kepada orang ramai mengetahui dan memahami cara pelaksanaannya,” jelas beliau lagi ketika ditemui selepas perasmian Sambutan Hari Alam Sekitar Negara 2019 di Taman Pudu Ulu, di sini.
Tumpuan diberikan kepada enam (6) barangan elektronik terjadual, iaitu penghawa dingin, mesin basuh, televisyen, telefon bimbit, peti ais dan komputer. Melalui rangka peraturan e-waste yang lebih tersusun ini, sisa elektronik ini dapat dibuang dan dilupuskan melalui kaedah yang betul dan selamat.
-AO