
Laporan/Foto: Tengku Nor Liza Tengku Yahya/Edawati Sulaiman (Kuala Lumpur)
KUALA LUMPUR, 21 Okt (Malaysiaaktif) – Perkarangan padang Hospital Kuala Lumpur (HKL) gamat seketika dengan sorakan peserta KL Pink Oktober Walk apabila kereta yang membawa Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajah Azizah Aminah Maimunah bersama anakanda, Tengku Puteri Jihan Azizah ‘Athiyatullah tiba kira-kira jam 7.30 pagi kelmarin, 19 Oktober.
Tuanku Azizah yang lengkap mengenakan pakaian berwarna merah jambu telah berkenan melepaskan peserta larian santai KL Pink Oktober Walk dan tidak melepaskan peluang untuk berjalan santai sejauh kira-kira satu kilometer bersama 2,000 peserta yang hadir.
Larian santai sejauh lima kilometer ini merupakan salah satu acara dalam Kempen Kesedaran Kanser Payudara Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang dilaksanakan bagi meningkatkan tahap kesedaran awal kanser payudara dalam kalangan wanita yang disambut seluruh dunia setiap Oktober.
“Minum milo anda jadi sihat dan kuat” begitulah bait lagu yang dinyanyikan oleh Tuanku Azizah ketika menikmati air milo dari van yang disediakan penganjur usai melaksanakan larian santai. Mengimbau kembali zaman kanak-kanak yang suka menjadikan milo sebagai salah satu minuman kegemaran.
Tuanku Azizah juga mengambil kesempatan mengunjungi reruai yang menawarkan pelbagai perkhidmatan seperti saringan kesihatan, pemeriksaan saringan kanser payudara, demonstrasi teknik pernafasan yang betul, kenali ubat anda, klinik berhenti merokok dan lain-lain lagi.
“Apabila saya dapat tahu Tuanku Azizah akan mencemar duli ke program KL Pink Oktober Walk ini, saya terus mendaftar dan mengajak seluruh ahli keluarga turut sama mendaftar ke acara ini,” ujar Normah Long, salah seorang peserta larian santai.
Tambah beliau, kesempatan ini diambil untuk melihat sendiri dengan lebih dekat Permaisuri Agong ang sangat cantik dan kaya dengan budi bahasa.
“Tidak dapat digambarkan perasaan saya apabila dapat berjalan bersama Tuanku Azizah dan Tengku Jihan. Keramahan dan kecantikan Tuanku Azizah membuatkan saya terkesima dan terpegun sejenak,” kata Normah dengan penuh kegembiraan.
Tuanku Azizah dan anakanda baginda turut diiringi Pengarah HKL, Datuk Heric Corray, Ketua Pegarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dan Pengerusi KL Pink Oktober Walk, Dr. Ros Suzanna Bustaman sepanjang acara berlangsung.
-AO