Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Jeffrey Nian (Labuan)
LABUAN, 4 Nov (Malaysiaaktif) – Komitmen Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Labuan (JKWP Labuan) untuk merealisasikan Labuan sebagai Pulau Sihat mencapai banyak kejayaan antaranya penurunan kadar penyakit di Labuan sepanjang 10 bulan tahun ini.
Menurut Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, antara kejayaan tersebut adalah mengawal dan mengurangkan kes kejadian penyakit demam denggi dengan penurunan sehingga 64.2% atau 34 kes berbanding 95 kes bagi tempoh yang sama pada tahun lepas.
“Kes penyakit Tibi turut mengalami penurunan sebanyak 14.4% atau 83 kes berbanding 97 kes bagi tempoh yang sama tahun lepas, manakala penyakit demam campak turun sebanyak 66.7% atau dua kes berbanding enam kes tahun lepas.
“JKWP Labuan sebagai peneraju perkhidmatan kesihatan berkualiti telah meletakkan hala tuju perkhidmatan kesihatan di Labuan untuk terus mengorak langkah maju ke hadapan,” katanya semasa berucap merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek Klinik Kesihatan Bebuloh, di sini hari ini.
Menurut Dr. Dzulkefly, hala tuju ini adalah melalui usaha komited dalam memberikan perkhidmatan kesihatan terbaik kepada penduduk Labuan dengan visi, misi dan objektif yang fokus ke arah menjadikan Labuan sebagai Pulau Sihat.
“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan kerajaan menyokong hasrat dan hala tuju ini dengan menekankan bahawa JKWP Labuan sentiasa komited dalam menambah baik perkhidmatan secara berterusan dengan menerapkan konsep merakyatkan perkhidmatan kesihatan di Labuan dan menjadikan isu kesihatan sebagai tanggungjawab bersama.
“Pencapaian ini menjadikan Labuan sebagai negeri yang mendapat akses kepada perkhidmatan kesihatan kepada keseluruhan warganya dan transformasi yang diperkenalkan ini mendapat penerimaan baik daripada warga Labuan,” katanya lagi.
Perkhidmatan hospital juga katanya telah ditambah baik dan akan diperbaiki dan terus dipertingkatkan.
“Usaha-usaha ini dilaksanakan melalui penambahan kepakaran perubatan, tenaga kerja dan peralatan-peralatan sokongan kepada perkhidmatan yang diwujudkan di Hospital Labuan.
“Bilangan pakar perubatan juga telah bertambah daripada lima orang kepada 18 orang pakar pada masa ini dan bilangan ini akan terus dipertingkatkan termasuk menerusi Belanjawan 2020 di bawah sektor kesihatan yang turut menyenaraikan Hospital Labuan mendapat sebahagian peruntukan untuk projek menaik taraf hospital,” tambahnya.
-SH