Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanLabuan

Klinik Kesihatan Bebuloh Bakal Manfaatkan 23 Ribu Penduduk Labuan

By 4 November 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Jeffrey Nian (Labuan)

LABUAN, 4 Nov (Malaysiaaktif ) – Projek pembinaan Klinik Kesihatan Bebuloh bakal memberi manfaat dan memberikan persekitaran rawatan yang kondusif kepada lebih 23,000 populasi di sekitar kampung itu.

Menurut Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, klinik kesihatan itu dibina atas keluasan tanah 4.06 ekar mengandungi bangunan klinik kesihatan (jenis 5) dan 16 unit kuarters kelas F.

“Projek ini adalah hadiah daripada kerajaan kepada rakyat yang merupakan projek klinik kesihatan kedua di Labuan dan ditunggu-tunggu oleh warga Labuan terutama di kawasan Kampung Bebuloh.

“Kawasan ini juga merupakan salah satu kawasan dalam perancangan untuk pembangunan Labuan, oleh itu pembinaan klinik ini adalah tepat pada masanya untuk menyokong pembangunan holistik di sini,” katanya semasa merasmikan Majlis Pecah Tanah projek tersebut, di sini hari ini.

Dr. Dzulkefly (tengah) beramah mesra dengan penduduk setempat yang menjalani pemeriksaan kesihatan.

Dr. Dzulkefly (tengah) beramah mesra dengan penduduk setempat yang menjalani pemeriksaan kesihatan.

Menurut Dr. Dzulkefly, Kerajaan Pakatan Harapan komited dalam memperkukuhkan sistem penyampaian penjagaan kesihatan termasuk di Labuan dalam projek pembangunan bawah Rancangan Malaysia Ke-11.

“Projek Pembangunan Klinik Kesihatan Bebuloh ini pada awalnya merupakan projek bawah Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) dan telah dibawa ke Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11).

“Langkah ini merupakan komitmen kerajaan Pakatan Harapan dalam memastikan projek ini dimulakan sebelum berakhirnya RMK-11 iaitu pada penghujung tahun 2020.

“Dengan pentadbiran dinamik di Labuan saya percaya projek ini dapat direalisasikan seperti yang telah dirancang,” katanya lagi.

Kerja-kerja pembinaan projek klinik itu dijangka bermula pada tahun 2020 dan dijangka siap pada tahun 2022.

Hadir sama Ahli Parlimen Labuan Datuk Rozman Isli, Pengerusi Perbadanan Labuan Datuk Seri Amir Hussien, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan Dr. Fary Akmal Osman dan Pengarah Kesihatan Labuan Dr. Ismuni Bohari.

-SH

Kongsi artikel ini di media sosial:

Tinggalkan komen anda