Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanJohor

Promosi HPPNK Di Lapang Sasar

By 4 November 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto : Norasilah Ibrahim/Shahqrul Azim Shaari (Kota Tinggi)

KOTA TINGGI, 4 Nov (Malaysiaaktif) – Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan 2019 (HPPNK 2019) merupakan satu acara tahunan yang dianjurkan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dengan kerjasama pelbagai agensi kerajaan dan swasta.

Pada tahun ini, Negeri Johor telah dipilih menjadi tuan rumah di mana Plaza Angsana, Johor Bahru menjadi lokasi pilihan bermula 28 November hingga 1 Disember hadapan.

Sehubungan itu, pihak kementerian telah mengambil inisiatif untuk melakukan promosi awal dengan mengadakan Program Ramah Mesra Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Bersama Media Johor, yang diadakan di Lapang Sasar Menembak Ladang Rem bagi menyebarluaskan maklumat HPPNK 2019 kepada masyarakat.

Program Ramah Mesra Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Bersama Media Johor diadakan di Lapang Sasar Menembak Ladang Rem.

Program Ramah Mesra Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Bersama Media Johor diadakan di Lapang Sasar Menembak Ladang Rem.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Salahuddin Ayub, ketika ditemui berkata, antara tarikan baharu HPPNK 2019 ialah Kenduri Rakyat Nasi Ambeng dan buat julung kalinya juga turut di adakan Forum Perdana Ehwal Islam yang akan disiarkan secara langsung dari tapak acara ini, selain ‘Job Fair’ yang akan memberi peluang kepada pencari kerja untuk mendapatkan pekerjaan mengikut kemahiran dan tahap kelulusan mereka.

“Sebanyak 350 gerai jualan dan pemasaran akan mengambil bahagian dalam HPPNK 2019 pada kali ini dengan penglibatan pelbagai jabatan dan agensi, sektor korporat dan usahawan tempatan.

“Program tahunan ini juga merupakan salah satu platform kepada peladang, penternak dan nelayan untuk mengetengahkan hasil-hasil pertanian dan teknologi terkini, selain membuka peluang perniagaan kepada mereka yang berminat,” ujarnya lagi.

IMG-20191104-WA0013

Acara menembak hari ini memberi pengalaman berharga kepada semua yang hadir untuk mencuba satu aktiviti yang eksklusif.

Beliau turut menegaskan, golongan peladang, penternak dan nelayan boleh dianggap sebagai salah satu asas kekuatan negara.

“Peranan peladang, penternak dan nelayan boleh disifatkan sebagai benteng makanan masyarakat, yang mana tanpa mereka, negara boleh kehilangan sumber bekalan makanan yang begitu penting,” katanya.

Dalam program ramah mesra media ini juga, Datuk Seri Salahuddin Ayub, tetamu kehormat bersama pengamal media turut berpeluang merasai pengalaman menembak di Lapang Sasar Menembak Ladang Rem yang dikelolakan oleh anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di mana acara ini secara tidak langsung memberi pengalaman berharga kepada semua yang hadir.

Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Salim Parlan, Ketua Pengarah Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia Ruhaida Mashhor dan Ketua Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang, Azulita Salim.
 

-NI-

Kongsi artikel ini di media sosial:

Tinggalkan komen anda