Skip to main content
Berita TempatanHomePutrajaya

Kandungan Industri Kreatif Mampu Jadi Eksport Untungkan Negara – Mahathir

By 7 November 2019Tiada komen2 minit bacaan

PUTRAJAYA, 7 Nov (Malaysiaaktif) —Tun Dr Mahathir Mohamad berkata kandungan industri kreatif seperti filem, drama dan animasi mampu menjadi eksport yang boleh menguntungkan negara jika produk yang dihasilkan berkualiti.

Perdana menteri menarik perhatian bahawa industri kreatif merupakan sektor yang sedang berkembang maju di Malaysia dengan kewujudan 345 syarikat berstatus MSC Malaysia setakat 31 Mac lalu di bawah kluster Kandungan Kreatif dan Teknologi daripada jumlah keseluruhan 2,986 syarikat berstatus MSC Malaysia yang aktif.

“Pada 2018, syarikat berstatus MSC Malaysia di bawah kluster ini mencatat nilai jualan RM7.69 bilion dengan nilai eksport RM1.4 bilion selain menyediakan 11,471 peluang pekerjaan,” katanya ketika berucap pada Istiadat Konvokesyen Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) ke-15 di sini hari ini.

Dr Mahathir percaya Aswara yang mempunyai pelbagai fakulti boleh menyediakan kandungan serta produk industri kreatif yang lebih berkualiti untuk pasaran tempatan dan antarabangsa.

Dalam pada itu, perdana menteri menegaskan bahawa Malaysia tidak boleh kehilangan identiti yang dibentuk menerusi kepelbagaian kebudayaan dan keseniannya.

“Kemajuan fizikal dan material perlu kita imbangi dengan kemajuan kesenian dan kebudayaan kerana dengan cara ini sahaja kita dapat memperkukuh tamadun bangsa,” katanya.

Beliau seterusnya menarik perhatian bahawa kebudayaan Malaysia, seperti mana kebudayaan negara lain, sentiasa mengalami perubahan akibat pengaruh luar, pengaruh perkembangan komunikasi, teknologi dan sebagainya.

“Dalam soal ini, pendidikan seni dan budaya amat penting kerana kita tidak mahu berlaku kemerosotan dan kemiskinan budaya,” kata Dr Mahathir sambil menambah kemerosotan ini akan menghakis sistem nilai yang amat perlu untuk kelangsungan bangsa dan negara.

“Jika seni dan budaya tidak diperjuangkan, masyarakat tidak lagi memahami fungsi dan kegunaan budaya teras yang menjadi identiti, sebaliknya mereka lebih mengenali budaya asing. Dengan itu, nilai-nilai murni yang kita warisi akan turut hilang,” kata perdana menteri.

Selain itu, Dr Mahathir berkata budaya Malaysia yang kaya ini tidak cukup untuk dikembangkan dalam negara sahaja kerana ia perlu juga dibawa ke peringkat antarabangsa di samping mempelajari budaya masyarakat lain.

Menurutnya lagi, sudah sampai masanya kerajaan dan rakyat Malaysia memberi perhatian kepada seni dan budaya negara yang menjadi tunjang kepada identiti bangsa.

Terdahulu, Dr Mahathir dan isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali dianugerah Ijazah Kehormat Kedoktoran Seni Kreatif sempena istiadat konvokesyen Aswara itu. Ia julung kali diperkenalkan oleh institusi berkenaan.

“Penganugerahan ini sudah pasti amat bermakna buat kami. Tetapi yang lebih penting ialah anugerah ini meletakkan seni dan budaya sebagai satu subjek yang perlu mendapat perhatian.

“Budaya terutamanya boleh menentukan jaya atau tidaknya sesuatu bangsa, bahkan seseorang individu,” kata Dr Mahathir sambil berkongsi perasaan terharu beliau dan isteri kerana menjadi penerima pertama anugerah itu.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda