Laporan/foto: Jamilah Sulaiman/Fauziah Abdullah (Seremban)
SEREMBAN, 7 Nov (Malaysiaaktif) – Seramai 30 orang pelajar yang juga ahli Kelab Malaysiaku Daerah Seremban berkunjung ke Parlimen Malaysia dengan harapan dapat meningkatkan pengetahuan dan sebagai pendedahan kepada pelajar tentang fungsi Dewan Rakyat dan Dewan Negara di negara ini.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Foke, berkata pelajar merupakan aset penting dan bakal menjadi pewaris kepimpinan negara pada masa hadapan, justeru mereka perlu dipersiapkan dengan pelbagai ilmu, berdisiplin dan menjadi insan yang dapat mencurah khidmat kepada keluarga, bangsa dan negara.
“Sebagai generasi alaf baru, para pelajar hendaklah menggunakan peluang yang telah diberikan ini dan memanfaatkan ilmu ini sebagai pengetahuan yang sangat berguna,” ujarnya ketika beramah mesra dengan para pelajar.
Menurut Pegawai Penerangan Daerah Seremban Fauziah Abdullah, pelajar yang mengikuti lawatan ini rata-rata memahami fungsi Dewan Rakyat dan berasa amat teruja apabila diberi peluang untuk menyaksikan sesi perbahasan yang berlangsung.
Bagi salah seorang pelajar terlibat Hiranyan Ravichandran, 14, lawatan ini cukup bermakna bagi dirinya kerana dia sememangnya bercita-cita untuk menjadi wakil rakyat satu hari nanti, dia berazam untuk belajar bersungguh-bersungguh dan bertekad untuk membawa aspirasi masyarakat kelak.
Sebanyak lima buah sekolah menyertai lawatan ini, iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Ampangan, SMK King George V, SMK Dato’ Klana Putra, SMK Dato’ Shahardin dan SMK Rantau.
-AK