Laporan/Foto: Parameswary Lekshmnan/Edawati Sulaiman (Kuala Lumpur)
KUALA LUMPUR, 26 Nov (Malaysiaaktif) – Dalam era teknologi digital yang semakin pesat berkembang ini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjadi kementerian pertama melaksanakan pembayaran perkhidmatan perubatan tanpa tunai melalui aplikasi e-Wallet (Boost).
Menurut Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, kementeriannya menyahut seruan Kerajaan dengan mewujudkan cashless society di Malaysia melalui pelaksanaan e-Wallet ini sekali gus menambah baik penyampaian perkhidmatan kaunter kesihatan.
Katanya lagi KKM menerima bilangan pesakit berbayar yang ramai di klinik kesihatan seluruh Malaysia dan bilangan ini semakin meningkat dari tahun ke tahun. Ini menjadi satu cabaran besar bagi mana-mana kementerian kesihatan untuk menangani kebanjiran ini dalam memberikan perkhidmatan kaunter yang berkualiti.
“Dengan adanya penggunaan e-Wallet ini, kadar masa menunggu pesakit di kaunter dapat dikurangkan walaupun hanya melibatkan bayaran pendaftaran RM1 bagi perkhidmatan kesihatan am dan RM5 bagi perkhidmatan pakar,” kata Dzulkefly ketika berucap merasmikan Majlis Pelancaran Pelaksanaan e-Wallet di Klinik Kesihatan Cheras, Jalan Yaacob Latif, hari ini.
Kini pesakit yang mendapatkan rawatan di klinik-klinik kesihatan mempunyai pilihan untuk menggunakan aplikasi Boost dalam membuat pembayaran selain secara tunai, kad kredit dan kad debit.
Penggunaan e-wallet di klinik kesihatan secara tidak langsung dapat membantu mengurangkan kes kehilangan wang awam di samping memupuk kesedaran integriti di kalangan petugas kaunter dan seterusnya meningkatkan imej perkhidmatan awam.
“Pembayaran tanpa tunai (cashless) menjadi satu cara lebih baik dan mudah bagi seluruh rakyat kerana ia dapat menjimatkan masa memandangkan Boost memerlukan masa 30 saat sahaja untuk menjelaskan pembayaran di kaunter,” jelas Dzulkefly ketika ditemui pada sidang media.
Pelaksanaan Boost ini merupakan inisiatif KKM dengan kerjasama Axiata Digital Ecode Sdn. Bhd. dan RHB Islamic Bank Berhad dalam memperkasa dan membudayakan penggunaan aplikasi e-wallet di fasiliti-fasiliti KKM.
Projek perintis ini telah mula dilaksanakan di empat (4) klinik kesihatan, iaitu Klinik Kesihatan Cheras, Klinik Kesihatan Kuala Lumpur, Klinik Kesihatan Presint 18 Putrajaya dan Klinik Kesihatan Seremban sejak bulan September yang lalu dan akan diperluaskan ke klinik-klinik kesihatan serta hospital-hospital secara berperingkat dalam jangka masa dua hingga tiga tahun akan datang.
Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan, Datuk Seri Dr Chen Chaw Min, Timbalan Pengarah Kesihatan Wilayah Persekutuan, Dr. Amin Shah Ahmad, Pengarah Urusan & Ketua Eksekutif Kumpulan Perbankan RHB, Datuk Khairussaleh Ramli dan Pengarah Produk dan Pemasaran Boost Axiata Digital Ecode Sdn. Bhd., YM Ungku Norliza Syazwan Ungku Halmie.
- AO