Laporan/foto: Idris Sani Saberun/Mastim Kiriman (Kota Kinabalu)
KOTA KINABALU, 2 Nov (Malaysiaaktif) – Menteri Alam Sekitar Republik Czech akan mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia pada 17 hingga 20 November ini.
Duta Besar Republik Czech ke Malaysia, Milan Hupcej yang ditemui media mendedahkan Sabah antara destinasi yang tersenarai untuk lawatan berkenaan, selain ibu negara.
Beliau yang dilantik ke jawatan tersebut pada awal tahun ini, menjelaskan antara bidang yang akan diberi perhatian dalam lawatan tersebut adalah kerjasama dan perkongsian maklumat dalam aspek pembangunan tenaga boleh diperbaharui, perlindungan alam sekitar, teknologi hijau, pelaburan dan sebagainya.
Jelas beliau, lawatan berkenaan akan disertai rombongan ahli perniagaan dan ahli akademik negara untuk berkongsi maklumat dalam bidang tertentu pada sesi pertemuan yang telah dirancang.
“Sebagai makluman, di rantau Asia Tenggara, Malaysia merupakan rakan perniagaan dan pelaburan terbesar Republik Czech dan kita berharap agar hubungan baik ini dapat diteruskan khususnya dalam bidang pelaburan dan pemuliharaan alam sekitar terutama di Sabah yang kaya dengan khazanah alam semula jadi,” ujarnya.
Hupcej berkata demikian selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah, pada Jumaat.
Turut mengiringi Hupcej pada kunjungan tersebut adalah Konsul Kehormat Republik Czech di Sabah, Ir. Vincent Tan Heng Kui.
ER