Laporan/foto: Jamilah Sulaiman Nasution/Muhammad Luqmanul Hakim Azmi (Seremban)
SEREMBAN, 26 Nov (Malaysiaaktif) – Pembangunan teknologi maklumat yang sangat pantas pada masa kini memainkan peranan yang penting dan secara tidak langsung menjadi wadah kepada pemimpin masyarakat terutamanya wakil rakyat dalam menyelami permasalahan rakyat setempat.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Lobak Chew Seh Yon, media sosial merupakan landasan penting dalam senario politik pada masa sekarang.
“Kuasa internet dan media sosial pada hari ini dilihat sebagai satu pemudah cara dan memberi impak yang sangat besar dan saya juga tidak ketinggalan untuk menggunakannya,” ujarnya ketika merasmikan Majlis Malam Jalinan Kasih Komuniti Harapan Malaysia Taman Bukit Mutiara, di sini kelmarin.
Antara insiatif yang telah dilakukan oleh pihaknya ialah dengan mencipta kumpulan sembang melalui aplikasi ‘Whatsapp‘ yang telah dibahagikan mengikut kawasan dan segala aduan yang disalurkan oleh penduduk akan dikemukakan kepada pihak yang bertanggungjawab mengikut isu.
Dalam pada itu, menurut Pengerusi Komuniti Harapan Malaysia (KHM) Taman Bukit Mutiara Zulkefle Ismail, pihaknya menyokong baik insiatif yang telah dijalankan oleh pihak DUN Lobak.
“Masyarakat setempat mungkin tidak tahu kemana aduan perlu dikemukakan melibatkan permasalahan setempat seperti pokok tumbang, longkang tersumbat, lampu jalan tidak menyala dan lain-lain lagi, dengan inisiatif ini, segala aduan boleh disalurkan dengan lebih efektif,” katanya.
Melalui kumpulan sembang ini masyarakat hanya perlu mengambil gambar beserta keterangan dan aduan akan dikemukakan kepada pihak terlibat melalui pihak DUN.
Dalam pada itu, She Yon telah menyampaikan sumbangan kepada 15 golongan asnaf dalam majlis tersebut.
-AK