Laporan/foto: Farah Diana/ Nur Fariza Farnoh (Melaka)
ALOR GAJAH, 2 Nov (Malaysiaaktif) – Seramai sepuluh warga emas telah menerima bantuan semasa Lawatan Jalinan Kasih sempena Program Pewaris Muda Peringkat Kebangsaan 2019 di Felda Tun Ghafar Hutan Percha, Alor Gajah, di sini, hari ini.
Program yang berlangsung selama empat hari ini membawa peserta dari kalangan pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) seluruh Malaysia bagi merasai suasana kampung dan menjalani aktiviti-aktiviti kemasyarakatan.
Peserta, Muhammad Shahir, 22, berkata pengalaman hari ini amat bermakna kerana pertama kali dapat menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan dan warga emas yang dikunjungi adalah ibarat ahli keluarga sendiri.
“Sebagai generasi muda sudah pasti saya berasa kagum dan bangga dapat mendengar sendiri pengalaman dan pengorbanan mereka dalam membangunkan FELDA sehingga kita lihat sekarang ini, pengorbanan mereka sangat besar, ” ujar Shahir.
Manakala bagi warga emas Lee Poh Lian, 84 tahun, beliau berasa amat terharu dan mengucapkan ribuan terima kasih atas kunjungan dan sumbangan yang diberikan.
“Hari ini ramai orang muda datang melawat saya, saya berharap semua akan berjaya dan menjadi orang yang berguna kepada negara dan menghormati ibu bapa dan guru, “ujar Lee.
Dalam pada itu, Exco Komunikasi, Multimedia, Badan Bukan Kerajaan (NGO), Pembangunan Belia dan Sukan Melaka, Kerk Chee Yee berharap pengalaman yang diperoleh oleh generasi muda sepanjang program itu dapat diadaptasi dalam kehidupan seharian sekaligus menambah jati diri dan semangat cintakan negara.
Beliau berkata, jalinan yang wujud melalui program itu wajar diteruskan walaupun program telah berakhir dan mahasiswa boleh saling berhubung dengan keluarga angkat dan berkongsi pengalaman menarik mereka mengenai kehidupan di sini terutama mengenai Negeri Melaka kepada rakan sebaya serta dalam media sosial.
“Peserta semua adalah pemimpin masa hadapan dan aset negara yang cukup bernilai. Justeru kuatkanlah jati diri kerana walaupun memiliki kelulusan tinggi, semua peserta juga seharusnya memiliki keperibadian dan nilai tinggi,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program itu di sini, semalam.
Sumbangan berupa barangan keperluan harian telah disampaikan oleh Pengarah Bahagian Perkhidmatan Komunikasi dan Pembangunan Masyarakat, Jabatan Penerangan Malaysia mewakili Ketua Pengarah, Hashim bin Bedu. Turut sama Pengarah Jabatan Penerangan Negeri Melaka, Mohd Rizal bin Hashim dan
Pengawai Penerangan Daerah Alor Gajah, Salina Hasan@Abd Rashid.
-KN