
Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus (Labuan)
LABUAN, 2 Nov (Malaysiaaktif) – Pasukan Wipers C yang dibarisi pemain dari Labuan muncul juara pada Kejohanan Bola Tampar Pantai Peringkat Kebangsaan 2019 yang berlangsung di Pulau Tioman, Pahang, baru-baru ini.
Wipers C yang diwakili pasangan kembar, Al Basri Kuangkoy dan Al Rasid Kuangkoy menewaskan pasukan Bistro 21-10 dan 22-20 sekali gus menobatkan Al Rasid sebagai Pemain Terbaik kejohanan tersebut.
Manakala pasukan Wipers A yang diwakili Mohd Hazim Shah Abdul Rahman dan Muhammad Hamri Telso turut melakar kejayaan dengan menduduki tempat ketiga selepas mengalahkan Takek All Star 18-21, 21-17 dan 17-16.
Menurut Pengurus Pasukan Johann Junior Ong, beliau cukup gembira dan berbangga kerana kedua-dua pasukan itu diwakili pemain dari Labuan yang mewakili Wilayah Persekutuan.
“Kejayaan kedua-dua pasukan ini adalah hasil kegigihan pemain yang mendapat bimbingan daripada jurulatih berpengalaman Ahmad Fadzly Abd Rahman dan pembantu jurulatih Mohd Mazlan Ahmad serta jurulatih kecergasan Midzmar@Adam Harun.
“Sudah tentu kejayaan ini meningkatkan motivasi pemain untuk terus berlatih bukan sahaja untuk mewakili Wilayah Persekutuan tetapi juga negara satu hari nanti,” katanya ketika ditemui, di sini.
-SH