Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraKedah

Raja Muda Kedah Kurnia Sumbangan

By 2 November 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Mahazir Abu Hassan (Baling)

BALING, 2 Nov (Malaysiaaktif) – Seramai 212 keluarga mangsa banjir daerah Baling menerima kurniaan sumbangan daripada Raja Muda Kedah Tuanku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehudin.

Pegawai Daerah Baling Abdul Bari Abdullah, berkata bagi pihak pentadbiran daerah amat menjunjung kasih di atas limpah perkenan Tengku Raja Muda Kedah yang sudi berangkat hadir ke daerah ini bagi menyempurnakan sumbangan.

“Bencana banjir kilat telah berlaku sebanyak lima kali bermula awal bulan Oktober lalu di lima mukim dan hari ini mereka akan menerima bantuan wang tunai daripada agensi-agensi kerajaan seperti Lembaga Zakat, Baitulmal dan Yayasan Islam Negeri Kedah dan dengan sumbangan ini diharapkan dapat mengurangkan beban mangsa banjir,” katanya ketika berucap dalam Majlis Kurniaan Sumbangan Kepada Mangsa Banjir Daerah Baling di Dewan Tun Abdul Razak, di sini semalam.

Antara mangsa-mangsa banjir yang menerima sumbangan semalam.

Antara mangsa-mangsa banjir yang menerima sumbangan semalam.

Abdul Bari turut menjelaskan hubungan akrab yang terjalin di antara semua jabatan yang membantu mangsa-mangsa banjir menjadi landasan untuk kerjasama dan persahabatan yang kukuh pada masa akan datang.

“Pada kesempatan ini saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua jabatan dan agensi kerajaan serta badan-badan bukan kerajaan dan orang perseorangan yang bertungkus lumus menyelamatkan mangsa-mangsa banjir ini,” tambahnya.

Terdahulu Tengku Sarafudin Badlishah, berkenan hadir ke Kampung Tanjung Merbau Mukim Pulai yang dilanda banjir kilat dan baginda kemudian diberi taklimat ringkas oleh Jurutera Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) daerah Baling.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Luar Bandar, Agama dan Syarikat Berkaitan Kerajaan Negeri Kedah Datuk Dr. Ismail Salleh, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga Masyarakat dan Pembasmian Kemiskinan Negeri Kedah Halimaton Shaadiah Saad, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Negeri Kedah Syeikh Zakaria Othman dan Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Kedah Ir. Md. Khuzai Hussain.

-SH

Tinggalkan komen anda