Laporan/Foto: Hamidah Md Drus/Azrulanuar Kamaruzzaman (Kuala Pilah)
KUALA PILAH, 2 Nov (Malaysiaaktif) – Negeri Sembilan sememangnya terkenal dengan Adat Perpatih dan ia masih lagi digunapakai oleh kebanyakkan masyarakat di Negeri Sembilan, namun begitu masih ada juga yang belum memahami sistem adat perpatih itu sendiri.
Beberapa inisiatif dilaksanakan oleh pelbagai pihak terutamanya kerajaan Negeri bagi memperkasakan Adat Perpatih ini, antaranya Sekolah Kebangsaan Inas (SKI) yang mengadakan program ceramah Keilmuan Adat Perpatih khusus bagi Luak Inas khas sempena penubuhan Kelab Adat Perpatih di sekolah berkenaan, di sini pada Khamis.
Menurut Datuk Johan Pahlawan Lela Perkasa Walad Kuala Dioh merangkap Penghulu Luak Inas, Mohamad Ariff Sidek, adat perpatih masih relevan di Negeri Sembilan dan semua pihak perlu berganding bahu terutama pengamal adat bagi memartabatkan dan menaikkan semula Institusi Adat Perpatih ini.
“Skop adat perpatih sebenarnya amat luas, ianya meliputi budi Bahasa, tatasusila yang membataskan perlakuan baik dan buruk masyarakat, malah ia juga adalah peraturan tingkah laku manusia dalam kehidupan seharian.
“Dengan pembukaan Kelab Adat Perpatih ini diharap pelajar dapat memahami dan menghayati pelaksanaan Adat Perpatih dan secara tidak langsung memberikan peluang kepada generasi muda tentang kehidupan beradat sebagaimana generasi terdahulu amalkan,” ujarnya.
Dalam pada itu, Datuk Bentara Jantan, Datuk Baharuddin Mohd Nor, berkata orang Melayu perlu memahami dan mengamalkan adat budaya dari awal.
“Generasi hari ini perlu diberi peluang untuk mengetahui susur galur dan sejarah nenek moyang mereka dan mengetahui kehidupan beradat sebagaimana generasi terdahulu,” katanya dalam ceramah yang disampaikan.
Tambah beliau lagi, adat bukan hanya dipraktikkan untuk istiadat perkahwinan sahaja malah lebih dari itu, ia adalah amalan hidup dalam bermasyarakat.
Di samping itu, alat kebesaran Penghulu Luak Inas turut dipamerkan kepada orang ramai seperti tombak, pedang dan gong.
Program tersebut dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kesenian, Kebudayaan dan Adat Istiadat Melayu merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Pilah, Mohamad Nazaruddin Sabtu.
-AK