Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanJohor

KRT Pemangkin Perpaduan

By 2 November 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto : Haliza Mohd Taib (Muar)

PONTIAN, 1 Nov (Malaysiaaktif) – Kawasan Rukun Tetangga (KRT) memainkan peranan penting dalam memelihara dan mengukuhkan perpaduan rakyat bagi merealisasikan kesejahteraan dan keharmonian sejagat dalam masyarakat.

Program Sepetang Bersama Pemimpin dan Majlis Perasmian KRT Telok Kerang telah diadakan di Dewan Komuniti Teluk Kerang, Pontian dan dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Perdagangan Dalam Negeri Dan Ehwal Pengguna Negeri Johor, Dr. S. Ramakrishnan petang tadi.

Program ini dianjurkan oleh KRT Teluk Kerang dengan kerjasama Pejabat Perpaduan Daerah Pontian dan Jabatan Perpaduan Negeri Johor yang menekankan tentang tanggungjawab masyarakat dalam memastikan perpaduan sentiasa dipelihara.

Dr. S. Ramakrishnan berharap KRT sentiasa bersedia menggalas tugas dan bertanggungjawab sebagai agen perpaduan di peringkat akar umbi.

Dr. S. Ramakrishnan berharap KRT sentiasa bersedia menggalas tugas dan bertanggungjawab sebagai agen perpaduan di peringkat akar umbi.

Dr. S. Ramakrishnan dalam ucapannya berkata jawatankuasa KRT perlu bersedia menggalas tugas dan tanggungjawab sebagai agen perpaduan di peringkat akar umbi, yang mana sememangnya memainkan peranan yang penting untuk pembangunan komuniti yang sedia ada.

“Setiap lapisan masyarakat digesa untuk bertindak aktif dalam memastikan tahap perpaduan dikalangan masyarakat terpelihara agar dapat membentuk satu suasana yang harmoni dan sejahtera.

“Penglibatan individu dalam pertubuhan sukarela merupakan satu usaha murni bagi membentuk platform positif masyarakat yang sentiasa ikhlas memberi khidmat sukarela di dalam komuniti,” katanya.

Ziarah Kasih Perpaduan menyantuni masyarakat yang kurang berkemampuan.

Ziarah Kasih Perpaduan menyantuni masyarakat yang kurang berkemampuan.

Tambah beliau lagi, peningkatan penubuhan Rukun Tetangga di seluruh negara membuktikan bahawa tanggungjawab sosial ini berfungsi dalam menyatupadukan masyarakat pelbagai kaum.

“KRT yang diwujudkan pasti mampu menyemarakkan lagi aktiviti kemasyarakatan dengan menambah nilai perpaduan dan nilai-nilai murni kaum yang terdapat di negara ini,” ujarnya lagi.

Pengarah Jabatan Perpaduan Negeri Johor, Safidah Abu Samah berkata KRT adalah sebagai agen perpaduan dalam menyelaras aktiviti-aktiviti di sesebuah komuniti bagi tujuan memantapkan perpaduan, keselamatan kejiranan, keharmonian agama, budaya dan pembangunan ekonomi.

Bagi menyantuni masyarakat yang kurang berkemampuan turut diadakan Ziarah Kasih Perpaduan di mana sumbangan berbentuk keperluan harian diserahkan kepada beberapa keluarga di sini.

Penerima sumbangan, Khatijah Keman, 70, menyatakan penghargaan dan gembira di atas keprihatinan masyarakat terhadap kesusahan yang dialaminya.

Manakala Tan Peng Boon, 71, begitu terharu dengan sumbangan yang diterima dan beliau mengakui bahawa masyarakat disekelilingnya masih mengamalkan budaya semangat kejiranan.

Pelbagai aktiviti turut diadakan sepanjang program ini berlangsung seperti pertandingan mewarna kanak-kanak, gubahan berasaskan tuala dan masakan berasaskan ayam.

Program sehari ini telah mendapat sambutan yang menggalakkan daripada penduduk setempat yang turut menyertai pelbagai aktiviti yang disediakan.

-NI-

Tinggalkan komen anda