Laporan/foto: Fauzrina Bulka/Azman Jumat (Kota Kinabalu)
KOTA KINABALU, 23 Nov (Malaysiaaktif) – Tadika Siti Khadijah yang dibangunkan Biro Wanita Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) sangat istimewa kerana pendidikannya 100 peratus berkonsepkan keislaman.
Yang Di Pertua USIA, Datuk Sairin Karno berkata matlamat utama tadika tersebut ialah untuk mendidik anak-anak menjadi seorang yang beriman dan berilmu.
“Kita mulakan dengan sebuah tadika yang keluasannya kira-kira 1000 kaki persegi untuk mendidik kanak-kanak sekitar Tanjung Aru dan kalau mampu, mungkin pihak pengurusan akan terima pelajar dari luar juga.
“Pecah tanah yang kita buat hari ini antara aktiviti atau kegiatan yang dibuat oleh wanita USIA dengan peruntukan yang diperoleh daripada kerajaan negeri melalui Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.
“Ini juga merupakan satu peluang pekerjaan untuk komuniti di sini yang mempunyai kemahiran mengajar dan mendidik anak-anak di sini nanti kerana lebih mudah dari segi pengurusan,” jelas Sairin.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Tapak Tadika USIA di Kampung Tanjung Aru pada Jumaat.
Katanya juga, pelbagai isu yang timbul melibatkan remaja Islam seperti liberalisme dan kerana itulah USIA berperanan berdakwah agar Islam ini kekal berterusan hingga akhir zaman.
Turut hadir, Ketua Wanita USIA, Datuk Azizah Mohd Dun; Bendahari Agung USIA, Datuk Matin Pandin; Ketua Penerangan USIA, Datuk Razak Tun Sakaran; Pengerusi Masjid Al Kauthar, Omar Khan.
ER