Laporan/foto: Fauzrina Bulka/Azman Jumat (Kota Kinabalu)
KOTA KINABALU, 23 Nov (Malaysiaaktif) – Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) yang merupakan sebuah badan dakwah, meneladani sifat Rasulullah SAW yang lembut dan halus.
Menurut Ketua Wanita USIA, Datuk Azizah Mohd Dun berkata kita perlu meneladani sifat Rasulullah SAW dalam berdakwah dan mempelajarinya dari mereka yang berilmu supaya dapat melakukan yang terbaik dan berkesan.
“Dakwah yang baik dan berkesan perlu supaya ia sampai kepada penerima agar mereka dapat lihat betapa cantik sebenarnya Islam itu.
“Penyebaran itu bukan sahaja kepada yang bukan Islam tetapi juga kepada masyarakat Islam sendiri agar kita dapat lebih menghayati dan mendalami lagi ilmu agama supaya lebih kukuh.
“Dakwah yang berkesan bukan sekadar berceramah atau menyampaikan dalil semata-mata, tetapi perlu tahu bagaimana sebaiknya pendekatan, tindakan dan kata-kata kita, iaitu dakwah bil hal,” katanya.
Azizah berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Ilmu Teman Pendakwah bertempat di Wisma USIA pada Jumaat.
Dua orang panel turut dijemput untuk menyampaikan ceramah iaitu Mufti Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Bungsu @Aziz Jaafar serta Pengarah Tabung Haji, Nurlaila Said.
Mengulas lanjut menurut Azizah, USIA juga mahu memperbetul persepsi kaum lain di luar sana yang mengatakan Islam itu tidak baik serta pengganas dengan menunjukkan sifat-sifat yang terpuji.
“Untuk wanita USIA sendiri kami memang memulakan dakwah kami bermula daripada keluarga sendiri terlebih dahulu, dan kami juga ada program yang sudah dilaksanakan secara berterusan iaitu Keluarga Sakinah.
“Kami terapkan dahulu rahmah didalam keluarga ahli kerana apabila seisi keluarga itu berkasih sayang dan hormat menghormati maka tentulah seisi keluarga itu nanti akan lebih dekat kepada Allah dan melahirkan generasi yang dekat kepada Allah.
“Selain daripada itu diadakan juga majlis tahnik, cukur jambul dan aqiqah dan Insyallah selepas ini kami akan mulakan kelas tadika yang mana kanak-kanak ini akan di ajar unsur-unsur keagamaan dari peringkat awal lagi,” jelasnya.
Hadir sama, Bendahari Agung USIA, Datuk Matin Pandin dan Ketua Penerangan USIA, Datuk Razak Tun Sakaran.
ER