Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanLabuan

17 Jenis Barangan Disenaraikan dalam SHMMP Krismas di Labuan

By 23 Disember 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus (Labuan)

LABUAN, 23 Dis (Malaysiaaktif) – 17 jenis barangan telah disenaraikan dalam Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Krismas 2019 di Labuan.

Menurut kenyataan daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Labuan, skim itu berkuat kuasa dari 22 hingga 31 Disember 2019.

“SHMMP merupakan langkah untuk menyekat kenaikan harga barangan keperluan menjelang perayaan Krismas yang akan disambut pada 25 Disember diseluruh negara dengan kategori barangan harga terkawal terdiri daripada ayam, telur ayam, sayuran, daging kambing dan babi.

“Penentuan harga maksimum pengeluar, borong dan runcit dibuat mengikut kewajaran dan kesesuaian bagi penguatkuasaan kawalan harga yang lebih berkesan untuk memastikan harga yang berpatutan bagi manfaat pengguna dan peniaga, sehubungan itu harga maksimum ditentukan di peringkat pengeluaran (ladang) bagi ayam hidup dan telur ayam,” kata kenyataan tersebut.

Pemantauan dan hebahan mengenai  SHMMP Krismas 2019 yang dilakukan Penguatkuasa KPDNHEP di Pasar Sentral Labuan, di sini.

Pemantauan dan hebahan mengenai SHMMP Krismas 2019 yang dilakukan Penguatkuasa KPDNHEP di Pasar Sentral Labuan, di sini.

Selain itu, penentuan harga barangan bagi negeri-negeri dibuat mengikut kesesuaian harga pasaran semasa dan mengambil kira faktor perubahan harga, khususnya bagi barangan import yang dipengaruhi harga di negara asal, perubahan kadar tukaran mata wang dan peningkatan kos utiliti penternak.

KPDNHEP mengingatkan bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang gagal mematuhi peraturan-peraturan di bawah skim ini.

“Mana-mana peniaga yang melakukan kesalahan akan diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan boleh dikenakan penalti.

“Denda sebanyak RM 100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya atau dikompaun sehingga RM50,000 bagi individu yang menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum manakala bagi pihak syarikat pula boleh didenda sehingga RM500,000 atau dikompaun sehingga RM250,000,” menurut kenyataan tersebut lagi.

Manakala bagi kesalahan gagal meletakkan tanda harga berwarna merah jambu bagi barangan harga terkawal boleh didenda sehingga RM10,000 atau dikompaun sehingga RM5,000 bagi individu dan denda sehingga RM20,000 atau dikompaun sehingga RM10,000 bagi kesalahan yang dilakukan pihak syarikat.

“Jenis barangan yang terlibat dalam SHMMP Krismas adalah ayam hidup/ayam standard, ayam super, daging kambing dan bebiri import bertulang, telur ayam gred A, telur ayam gred B, telur ayam gred C, kepak ayam, ayam belanda import, tomato, kubis bulat import, cili merah, lada benggala hijau, ubi kentang import, babi hidup, daging babi (perut) dan babi (daging dan lemak),” tambah kenyataan tersebut.

-SH

Tinggalkan komen anda