
Laporan/foto: Eviannie Kin/Shahvian Muhd Razali (Kota Kinabalu)
KUNDASANG, 7 Dis (Malaysiaaktif) – Hasrat masyarakat Kundasang agar Pesta Kubis dapat dimasukkan dalam kalendar pelancongan Sabah bagi menarik lebih ramai pengunjung dan pelancong ke pesta tersebut.
Menteri Pembangunan Infrastruktur, Datuk Peter Anthony berkata, perkara tersebut akan beliau cadangkan kepada Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Christina Liew untuk tindakan susulan.
“Saya percaya sememangnya sudah tiba masa di peringkat kerajaan untuk mengiktirafkan Pesta Kubis yang telah diraikan setiap tahun sejak 1997.
“Ini merupakan suatu perayaan bukan saja untuk penduduk sekitar Kundasang malah dapat menarik lebih ramai pelancong untuk bersama-sama meraikan pesta ini,” katanya ketika ditemui media selepas Majlis Perasmian Pesta Kubis 2019 di Perkarangan Sedco, Pekan Kundasang, pagi Sabtu.
Tambah Peter, ini sudah tentu dapat meningkatkan kegiatan ekonomi khususnya pertanian yang melibatkan sayur-sayuran.
Pada majlis tersebut, beliau menyempurnakan penyampaian tiga anugerah iaitu Anugerah Usahawan Muda yang menobatkan Pettry Osman, Anugerah Peladang Jaya, Samlee Daim dan Justina Mansun yang menerima Anugerah Ibu Peladang, masing-masing menerima sijil penghargaan, plak dan wang tunai.
Selain itu, turut diadakan penyampaian hadiah Pertandingan Pondok Tani yang dimenangi oleh Kampung Semuruh, diikuti tempat kedua dari Kg. Dumpiring Atas dan ketiga dari Kg. Kundasang Lama.
ER