Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanMASabah

Amal Cara Hidup Sihat, Tingkahlaku Selamat Hindar Wabak AIDS

By 8 Disember 2019Tiada komen4 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto:Zaidi Jamin (Kota Kinabalu)

KOTA KINABALU, 8 Dis (Malaysiaaktif) – Masyarakat adalah diingatkan agar sentiasa mengutamakan kesihatan peribadi, kekalkan cara hidup sihat dan tingkahlaku yang selamat bagi mencegah virus HIV dan wabak AIDS.

Timbalan Pengarah Klinikal I, Hospital Queen Elizabeth (HQE) Dr. Yogendra A/L Panchalingam berkata, virus HIV (Human Immunodeficiency Virus) dan wabak AIDS boleh tersebar melalui pelbagai cara.

Dr. Yogendra (kiri) bersama-sama Dr. Lee Heng Gee serta Chow Tat Bin (kanan) antara yang memeriahkan Sambutan Hari AIDS Sedunia.

Dr. Yogendra (kiri) bersama-sama Dr. Lee Heng Gee serta Chow Tat Bin (kanan) antara yang memeriahkan Sambutan Hari AIDS Sedunia.

“Walau bagaimanapun, adalah amat penting setiap individu, komuniti dan masyarakat tahu betapa pentingnya usaha pencegahan daripada merawat dan mengubati.

“Justeru selain menjaga dan memelihara kesihatan peribadi, jauhi diri daripada pengambilan dadah, elakkan hubungan seks di luar nikah, hubungan seks sesama jenis (homoseksual) serta elak perlakuan seks berbilang pasangan,” katanya.

Dr. Yogendra berkata demikian semasa merasmikan Sambutan Hari AIDS Sedunia Peringkat HQE bertempat di Auditorium HQE, pada jumaat.

Selamat Hari AIDS Sedunia … Warga hospital bersama- sama tetamu jemputan merakam gambar kenangan di Auditorium Utama, HQE.

Selamat Hari AIDS Sedunia … Warga hospital bersama- sama tetamu jemputan merakam gambar kenangan di Auditorium Utama, HQE.

Menurutnya, AIDS ialah sindrom kurang daya tahan penyakit yang disebabkan virus HIV.

“Jangkitan Virus HIV dan wabak AIDS boleh disebarkan melalui pelbagai cara yang melibatkan pemindahan cecair badan seperti darah, melalui hubungan seks dengan individu yang dijangkiti, berkongsi jarum suntikan, pemindahan darah mahupun organ yang tercemar serta dari ibu HIV kepada bayi.

“Mereka yang dijangkiti HIV boleh kelihatan sihat tetapi apabila tahap ketahanan ataupun antibodi tubuh telah lumpuh, gejala-gejala sindrom AIDS akan kelihatan.

Sebahagian dari warga hospital bersama—sama ahli Persatuan Perkhidmatan Sokongan AIDS Sabah (KASIH) turut sama menjayakan sambutan dan terlibat dengan pameran kesihatan.

Sebahagian dari warga hospital bersama—sama ahli Persatuan Perkhidmatan Sokongan AIDS Sabah (KASIH) turut sama menjayakan sambutan dan terlibat dengan pameran kesihatan.

“Antara petanda awal termasuklah penurunan berat badan yang ketara selanjutnya mudah dijangkiti pelbagai penyakit yang boleh memudaratkan pesakit berkenaan.

“Setakat ini tiada ubat ataupun vaksin penyembuh yang ditemui. Walau bagaimanapun rawatan Anti-retroviral boleh meningkatkan kualiti hidup dan hayat pesakit,” jelasnya.

Tambanya juga, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) amat komited dalam usaha menangani penyakit ini.

Beri Sokongan.. Antara jururawat yang turut berkempen sepanjang sambutan berlangsung.

Beri Sokongan.. Antara jururawat yang turut berkempen sepanjang sambutan berlangsung.

“Pihak hospital sentiasa mengalu-alukan kehadiran mereka yang memerlukan perkhidmatan rawatan dan saringan serta mengambil langkah perlu bagi memperkukuhkan aktiviti pencegahan dan kawalan terhadap penyakit ini.

“Bagi memastikan lebih ramai mereka yang berisiko tampil untuk menjalani ujian HIV, pihak hospital sentiasa bersikap terbuka dan tidak mendiskriminasikan mereka.

“Pihak hospital sentiasa menjaga kerahsiaan pesakit termasuklah individu yang dijangkiti HIV malah sedaya upaya memberikan bantuan dan sokongan moral agar mereka tidak terasa terpinggir, dibenci dan dipersalahkan seterusnya diberi bimbingan dan rawatan sebaik mungkin,”ujarnya.

Turut memeriahkan sambutan termasuklah kalangan kanak-kanak yang terlibat dengan sesi taklimat dan pertandingan lukisan.

Turut memeriahkan sambutan termasuklah kalangan kanak-kanak yang terlibat dengan sesi taklimat dan pertandingan lukisan.

Sambutan hari AIDS sedunia dengan tema ‘Communities make the Difference’ bukan sahaja untuk memupuk kesedaran mengenai wabak AIDS yang disebabkan oleh jangkitan HIV, sebaliknya bertujuan menggerak sokongan semua pihak termasuk komuniti setempat ke arah usaha membenteras dan pencegahan serta penularan penyakit ini, jelas Yogendra.
Sambutan Hari AIDS Sedunia Peringkat Hospital Queen Elizabeth (HQE) anjuran Unit Penyakit Berjangkit dan Unit Promosi Kesihatan HQE disambut sederhana namun dirai dengan kempen dan pelbagai aktiviti menjurus ke arah kesedaran bersama.

Selain pameran berkaitan penyakit berjangkit, sambutan turut diserikan dengan aktiviti pendermaan darah serta pertandingan mewarna bagi kanak-kanak di ruang lobi hospital.
Hadir sama pada majlis Pengerusi Ahli Lembaga Pelawat Hospital, Chow Tat Bin; Ketua Unit Kawalan Penyakit Berjangkit, Dr. Lee Heng Gee, wakil daripada Persatuan Perkhidmatan Sokongan AIDS Sabah (KASIH), wakil daripada pertubuhan Bukan Kerjaan (NGO) serta pegawai-pegawai kanan hospital.

ER

Tinggalkan komen anda