Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)
GOMBAK, 24 Dis (Malaysiaaktif) – Para peniaga diminta untuk mematuhi harga barangan yang ditetapkan di bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Krismas 2019.
Menurut Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor, Muhamad Zikril Azan Abdullah, pematuhan itu perlu diikuti sebagai satu langkah kerajaan mengurangkan kos sara hidup rakyat selain membolehkan pengguna memperolehi barangan keperluan pada musim perayaan dengan harga yang berpatutan.
“Sempena perayaan Krismas ini, kerajaan mengawal 14 barangan keperluan yang menjadi tumpuan ramai antaranya ayam belanda, cili bengala hijau dan telur.
“Sekiranya peniaga gagal patuh peraturan ditetapkan di bawah SHMMP Krismas 2019, mereka berdepan tindakan tegas termasuk penalti sehingga RM500,000,” katanya pada sidang media Majlis Pelancaran Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Krismas 2019 peringkat negeri Selangor, di sini semalam.
Menurut Zikril, pihak KPDNHEP Selangor telah meninjau dan membuat pemeriksaan ke atas 236 premis perniagaan, namun tiada sebarang kesalahan yang dikesan.
“KPDNHEP Selangor juga belum menerima sebarang aduan berkaitan kenaikan harga barang kawalan sejak ia dilaksanakan semalam dan pemantauan setiap hari akan diteruskan sehingga 31 Disember ini ke atas premis-premis perniagaan,” katanya lagi.
Menurutnya, tiga kesalahan yang biasa dilakukan peniaga adalah menetapkan harga melebihi harga siling, tidak meletakkan tanda harga berwarna merah jambu dan gagal mempamerkan tanda harga barang yang dijual.
“Kerjasama pengguna sangat diperlukan untuk melaporkan sebarang kesalahan yang dilakukan peniaga kepada pihak kami dengan segera agar tindakan selanjutnya dapat diambil.
“Pegawai KPDNHEP Selangor akan sentiasa berada di premis-premis perniagaan sama ada yang berpakaian uniform atau berpakaian biasa untuk memantau kesalahan peniaga atau menyiasat sebarang aduan pengguna,” tambahnya.
-SH