Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus (Labuan)
LABUAN, 24 Dis (Malaysiaaktif) – Program Bahimpon Jasa Bakanang anjuran Biro Wanita Persatuan Kadayan Labuan (WAKAL) menyajikan keunikan tradisi dan budaya suku kaum Kedayan di pulau ini.
Menurut ketuanya Zurinah Matali, Bahimpon Jasa Bakanang diisi dengan pertandingan Kubamban (busana) etnik Kedayan Labuan bagi Kategori Alai Kapoo (12 tahun ke bawah), Kategori Indong Kapoo (dewasa dan ibu-ibu) dan kategori Kapala Kapoo (remaja).
“Kita juga mengadakan pertandingan menghias bunga telur dahulu kala, serta pertandingan gubahan hanjalai pinglas serta persembahan bamukun oleh kumpulan Watan Labuan yang dianggotai golongan belia Kedayan.
“Selain itu kita turut mempromosikan Tamu Bukit Kuda sebagai pusat pengumpulan dan jualan hasil tani serta produk kampung sekaligus sebagai tempat mengeratkan tali silaturahim antara warga kampung yang terdiri daripada pelbagai etnik di Labuan selain menaikkan taraf ekonomi warga kampong,” katanya ketika ditemui, di sini baru-baru ini.
Acara santai pertama kali itu juga dianjurkan bagi mengenang jasa ahli-ahli persatuan yang berjaya memelihara serta membawa nama etnik Kedayan dan Wilayah Persekutuan Labuan ke seluruh kepulauan Borneo demi memelihara legasi turun temurun khazanah pusaka melalui konsep padian (saudara) di dalam rumpun etnik kadayan.
Sementara itu, Ahli Parlimen Labuan merangkap Yang Dipertua WAKAL, Datuk Rozman Isli, program tersebut amat baik dijadikan sebagai salah satu tarikan pelancong ke Labuan.
“Saya berharap WAKAL dapat meneruskan program sebegini sebagai salah satu tarikan utama pelancong ke Labuan terutama pada Tahun Melawat Malaysia 2020 seperti acara ‘Makan Tahun’ yang menjadi acara tahunan bagi masyarakat Kedayan di tempat lain seperti di Sarawak,Sabah dan Brunei.
“Kita mampu menarik pelancong tempatan dan luar jika ‘Makan Tahun’ ini dapat kita laksanakan dengan pelbagai pengisian atau pertandingan berasaskan tradisi Suku Kaum Kedayan,” katanya ketika ditemui pemberita.
Beliau turut berharap ada penyelidikan atau penulisan mengenai Keunikan Suku Kaum Kedayan di Labuan.
“Kita perlu ada penulisan berbentuk kajian terhadap kebudayaan atau tradisi Kedayan agar ianya boleh menjadi rujukan akademik mahupun sebagai rujukan pelancong lebih-lebih lagi apabila kita menuju ke zaman moden kini,” katanya lagi.
Program turut dihadiri Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Labuan Simsudin Sidek dan Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Bukit Kuda Omar Tangkim.
-SH