Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Peningkatan Jangkitan Influenza Masih dalam Julat Normal

By 31 Disember 2019Tiada komen2 minit bacaan

PUTRAJAYA, 31 Dis (Malaysiaaktif) – Peningkatan kes jangkitan influenza masih berada dalam julat normal dan hampir sama dengan tahun-tahun sebelumnya, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau yang mengambil maklum mengenai berita tular di media sosial mengenai peningkatan jangkitan itu berkata, Kementerian Kesihatan memantau influenza dengan menggunakan data proksi yang direkodkan dari aktiviti survelan melibatkan beberapa lokasi sentinel dikenalpasti di seluruh negara.

Katanya, berdasarkan tren yang direkodkan dari aktiviti survelan tersebut, terdapat sedikit peningkatan kes Influenza Like-Illness (ILI) dan Severe Acute Respiratory Infection (SARI) semenjak pertengahan bulan Disember ini.

β€œNamun begitu, peningkatan yang direkodkan masih berada dalam julat normal dan hampir sama dengan tahun-tahun sebelumnya. Begitu juga, tiada peningkatan ketara bagi kejadian wabak jangkitan saluran pernafasan dilaporkan dalam tempoh yang sama,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambahnya, analisa terhadap virus influenza yang dikesan melalui pemantauan itu juga tidak menunjukkan sebarang tanda ia mengalami mutasi sehingga mencetuskan kemunculan virus influenza baharu (novel virus).

Influenza merupakan jangkitan dengan gejala utama seperti demam selsema, sakit tekak, batuk dan gejala lain seperti sakit kepala, sakit otot, sakit sendi dan kelesuan.

Wabak yang disebabkan virus influenza bermusim hanya menyebabkan demam selsema ringan kepada orang biasa tetapi boleh mengakibatkan jangkitan yang teruk terhadap kumpulan berisiko tinggi seperti kanak-kanak, warga tua, wanita mengandung dan mereka yang mempunyai penyakit-penyakit kronik.

Sehubungan itu, Dr Noor Hisham menyarankan orang awam dan golongan berisiko tinggi untuk mendapatkan pelalian vaksin influenza bermusim yang ditawarkan oleh kebanyakan fasiliti kesihatan swasta sebagai langkah pencegahan.

Beliau juga menasihatkan individu yang mempunyai gejala jangkitan influenza supaya berehat di rumah serta memakai penutup hidung dan mulut sekiranya ke tempat awam bagi mengelak penularan jangkitan.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda