Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurKelantanMA

TPM Santuni Mangsa Banjir

By 3 Disember 2019Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto : Rosli Muhammad / Nur Shafira Mat Hussin

PASIR PUTEH, 3 Dis (Malaysiaaktif)- Mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Kamil , Pasir Puteh, pukul 11.50 pagi tadi ternyata ceria menyambut ketibaan Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail yang dalam rangka Lawatan Kerja Ke Negeri Kelantan Dan Terengganu.

Dalam siri lawatan ini Wan Azizah meluangkan masa kira-kira 30 minit untuk beramah-mesra dan menyampaikan kit bantuan makanan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) seterusnya bersama-sama menikmati jamuan makan tengah hari.

Di kesempatan itu juga, Wan Azizah turut diraikan dalam sambutan ringkas ulang tahun kelahiran beliau yang jatuh pada hari ini, 3 Disember 2019, sambutan ini merupakan kerjasama antara Ahli Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah bersama mangsa-mangsa banjir.

Menurut Penolong Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Pasir Puteh, Hafizudin Ayub berkata setakat ini tiada pertambahan mangsa dicatatkan dan cuaca juga dalam keadaan baik.

Seorang mangsa banjir, Nor Syazana Nawi dari Kampung Bangol Kerian turut meluahkan rasa teruja dan gembira apabila menerima kunjungan Timbalan Perdana Menteri Malaysia.

TPM menikmati jamuan makan tengahari bersama mangsa banjir

TPM menikmati jamuan makan tengahari bersama mangsa banjir

“Saya merasa terharu dengan kunjungan pemimpin tertinggi negara yang menunjukkan keprihatinan terhadap musibah yang menimpa rakyat,” ujarnya.

Rata-rata mangsa yang ditemu bual redha dengan ujian yang diterima dan berharap cuaca akan bertambah baik bagi membolehkan mereka kembali semula ke rumah masing-masing.

Bencana banjir yang melanda Pantai Timur memberikan kesan kepada tujuh daerah di Kelantan iaitu Kota Bharu, Jeli, Bachok, Pasir Mas, Kuala Krai dan Pasir Puteh.

Merujuk portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat sehingga hari ini jumlah mangsa di Kelantan seramai 13, 002 orang yang mana 8 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) telah dibuka di Pasir Puteh yang melibatkan 826 mangsa.

Timbalan Perdana Menteri seterusnya berlepas ke Besut, Terengganu bagi meneruskan rangka lawatan kerja beliau.

-NAZ

Tinggalkan komen anda