Laporan/foto: Fauziah Abdullah (Seremban)
SEREMBAN, 3 Dis (Malaysiaaktif) – Kembara Anak Muda anjuran Kerajaan Negeri Sembilan dengan kerjasama Jabatan Penerangan (JAPEN) Malaysia telah memulakan jelajah siri pertama dari Seremban menjelajah ke Jempol dan Jelebu Ahad lalu.
Program yang turut disertai oleh Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun, ini merupakan inisiatif baharu bertujuan merapatkan jurang antara pemimpin dan belia.
Pengarah JAPEN Negeri Sembilan Mejar (K) Sabarudin Yeop Hamza, berkata program ini merupakan kali pertama dianjurkan dan dilakukan dengan skala yang besar dengan melibatkan lebih 260 orang peserta membabitkan pemimpin dan belia di Negeri Sembilan.
“Jelajah ini akan bermula di Seremban dan destinasi pertama adalah Jempol seterusnya Jelebu dan kembali semua ke Seremban di mana setiap perhentian tersebut akan diadakan aktiviti pemimpin dan rakyat yang memberi manfaat kepada masyarakat setempat,” katanya.
Muhammad Luqmanul Hakim Azmi, 24, yang merupakan salah seorang peserta berkata ini kali pertama beliau menyertai konvoi seumpama ini dan menganggap ia satu inisiatif yang sangat baik dalam usaha mendekati golongan muda dengan menjadikan minat mereka sebagai daya tarikan.
“Saya berharap program ini akan diteruskan dari masa ke masa kerana ini merupakan peluang kami untuk merasa dekat dengan pemimpin selain mendidik penunggang motosikal supaya mematuhi peraturan di jalan raya dan mengamalkan pemanduan berhemah.”
Konvoi santai tersebut turut disertai oleh Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan SAC Che Zakaria Othman dan masih mempunyai empat siri untuk diteruskan pada masa hadapan.
-AK