
Laporan/foto: Norlida Abdullah/Pejabat Daerah Kulai (Kulai)
KULAI, 29 Jan (Malaysiaktif) – Seramai 17 orang pemohon dari daerah Kulai menarik nafas lega apabila berjaya menerima bantuan Geran Orang Lokal (GOL).
Program ini merupakan Inisiatif Kerajaan Negeri Johor dan diuruskan sepenuhnya oleh Perbadanan Usahawan Johor Sdn Bhd (PUJB) menerusi Titik sentuhan Bajet Johor 2019.
Majlis penyerahan geran tersebut telah disempurnakan oleh Menteri Besar Johor Datuk Dr. Sahruddin Jamal, di sini semalam bersempena lawatan kerjanya ke daerah ini.
“Saya berharap bantuan ini dapat membantu melonjakkan hasil pendapatan usahawan mikro kepada 20 peratus setahun dan secara tidak langsung ia juga menampakkan kesungguhan kerajaan negeri dalam membantu membangunkan ekonomi usahawan kecil di negeri ini.
“Dengan adanya program seumpama ini, saya berharap penerima geran akan menggunakan sebaiknya bantuan yang diberikan bagi meningkatkan ekonomi negeri ini,” ujar ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Penyerahan Geran Orang Lokal, di sini, semalam.
Pihak Perbadanan Usahawan Johor Sdn Bhd telah menerima sebanyak 1940 permohonan dan proses pemilihan secara saringan telah diadakan bersama-sama agensi strategik iaitu Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Jabatan Pertanian Negeri Johor dan TEKUN Nasional Berhad.
Bagi Daerah Kulai, seramai 97 pemohon telah menghantar permohonan, 24 pemohon telah melepasi peringkat sesi temuduga dan hanya 17 pemohonan sahaja yang telah diluluskan di peringkat Mesyuarat Teknikal dan Kelulusan.
Pemohon yang telah diluluskan akan memperoleh manfaat dari program ini dalam bentuk bantuan peralatan atau mesin, rekabentuk atau pelabelan, pembungkusan dan website berjumlah RM120,597.00.
-NI-