
Laporan/foto: RA Othman/Afnan Hakimi Ab Aziz (Marang)
MARANG, 29 Jan (Malaysiaaktif) – Susulan beberapa kes demam viral seperti Influenza A, Influenza B dan terkini Novel Coronavirus yang dilaporkan di dada-dada akhbar tempatan serta antarabangsa, rakyat Malaysia diminta untuk lebih berhati-hati dan berwaspada dalam pelaksanaan aktiviti harian.
Tidak terkecuali penduduk daerah sini yang turut diingatkan supaya sentiasa menjaga kebersihan dan mengelakkan aktiviti yang boleh menjejaskan kesihatan.
Menurut Pegawai Kesihatan Daerah Marang Dr. Tan Sin Yew, pihak Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Marang sentiasa bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan akibat jangkitan penyakit berjangkit yang sedang menular supaya masyarakat setempat tidak dijangkiti virus tersebut.
“Sehingga kini, tiada kes tersebut dilaporkan di daerah Marang. Namun begitu, kita bersedia dari semasa ke semasa dan sentiasa memantau tahap kesihatan masyarakat di sini,” katanya.
Melalui kempen-kempen kesihatan yang dilaksanakan, beliau berharap orang ramai tidak takut untuk menjalani saringan kesihatan melalui kaunter-kaunter khas yang disediakan di klinik-klinik kesihatan secara percuma.
“Ini adalah perkhidmatan percuma yang perlu direbut oleh masyarakat kerana perkhidmatan saringan kesihatan ini sangat bagus untuk mengesan jangkitan mahupun penyakit pada peringkat awal,” katanya ketika ditemui pemberita, di sini baru-baru ini.
Menurut beliau lagi pada masa negara sedang dalam situasi berjaga-jaga dengan jangkitan ini, masyarakat tidak perlu berasa risau dan takut kerana pihak kerajaan telah pun bersedia dengan perancangan kesihatan yang terbaik untuk rakyat Malaysia.
“Apa yang perlu dilakukan ialah mengamalkan gaya hidup sihat dengan menjaga kebersihan, mengamalkan etika batuk, pemakanan seimbang serta tidak malas untuk beriadah bagi memastikan tubuh badan sentiasa bergerak cergas,” tambahnya.
Ibu bapa juga turut diingatkan supaya mendapatkan suntikan vaksin Influenza A dan B untuk anak-anak mereka yang boleh didapati di klinik-klinik swasta bagi mencegah jangkitan.
-ii-