
Laporan/foto: Jamilah Sulaiman Nasution/Fauziah Abdullah (Seremban)
SEREMBAN, 29 Jan (Malaysiaaktif) – Jabatan Penerangan (JAPEN) Daerah Seremban telah mengambil inisiatif untuk menjalankan aktiviti Info On Wheel (IOW) dalam menyampaikan maklumat yang tepat secara bersemuka kepada seluruh lapisan masyarakat.
IOW JAPEN Seremban kali ini tertumpu di Pasar Tani Ampangan untuk memberikan pendedahan dan kesedaran kepada rakyat bagi melindungi kesihatan dan keselamatan susulan wabak Novel Koronavirus (2019-nCoV).
Menurut Pegawai Penerangan Daerah Seremban Fauziah Abdullah, kesedaran dalam kalangan masyarakat setempat mengenai 2019-nCoV masih pada tahap rendah dan hasil tinjauan mereka mendapati rata-rata pengunjung di Pasar Tani tersebut masih tidak memakai penutup mulut dan hidung.
“Melalui IOW, kami memainkan peranan dengan menerangkan mengenai langkah-langkah pencegahan serta tanda-tanda dan gejala 2019-nCoV kepada masyarakat terutamanya warga emas,” ujarnya.
Tambah Fauziah lagi, objektif pihaknya dalam menyampaikan maklumat mengenai wabak 2019-nCoV ini dilihat tercapai dengan kira-kira 300 risalah telah diedarkan sepanjang IOW tersebut berlangsung.
Manakala menurut salah seorang pengunjung, Farid Roslan, mengamalkan tahap kebersihan diri yang tinggi adalah antara langkah perlindungan boleh dilakukan orang ramai untuk mencegah jangkitan 2019-nCoV.
“Saya mengajak semua rakyat untuk mengambil langkah-langkah pencegahan bagi melindungi diri, keluarga dan masyarakat daripada wabak ini,” katanya.
Bagi Nurhana Husain pula, langkah yang diambil oleh Jabatan Penerangan untuk turun padang dan menyampaikan maklumat adalah satu langkah yang amat baik kerana rata-rata maklumat yang diperoleh dari media sosial adalah tidak sahih.
“Hebahan yang dilakukan menggunakan pembesar suara kenderaan jabatan dalam pelbagai bahasa juga dilihat masih relevan dan mampu menarik orang ramai untuk mendengar maklumat yang disampaikan,” ujarnya.
-AK