
Laporan /Foto : Suhaimi Nik Wil (Kuala Krai)
KUALA KRAI, 30 Jan (Malaysiaaktif) – Kerajaan Malaysia telah mengambil langkah segera dan tepat menggantung sementara visa bagi pelancong Cina dari Wilayah Wuhan dan Hubei bagi mengekang penularan jangkitan ‘Coronavirus ’ (2019-nCoV) di Malaysia. Kemudahan visa akan dikembalikan apabila masalah Coronavirus berjaya dikawal oleh kerajaan.
Waktu ini belum ada kes kematian akibat jangkitan Coronavirus namun kerajaan perlu segera mengambil tindakan tegas untuk menghalangnya dari merebak.
Menurut Pengerusi MPKKP Mukim Lata Rek, Tuan Mastura Tuan Ibrahim orang ramai wajar menapis maklumat yang diterima terlebih dahulu samada benar atau salah sebelum disebarkan, kita sebagai rakyat Malaysia hendaklah bersatu hati menyokong kerajaan hari ini bagi menghadapi isu besar ataupun kecil yang melibatkan kepentingan dan keselamatan rakyat.
Sementara itu Setiausaha KHM Kampong Manjor, Nordin Hashim berpandangan tindakan kerajaan menggantung sementara visa pelancong Cina dari Wilayah Wuhan dan Hubei merupakan langkah bijak untuk menghalang jangkitan Coronavirus merebak di negara kita.
“Jelas sekali kerajaan begitu fokus menjaga keselamatan rakyat Malaysia dari dijangkiti Coronavirus yang boleh membawa maut dan ianya menafikan berita palsu sebelum ini yang mengambarkan seolah-olah kerajaan telah mengadai nyawa rakyat demi untuk mendapatkan keuntungan menerusi sektor pelancongan,“ ujarnya.
“Selain dari berdepan dengan virus Coronavirus kerajaan juga terpaksa berhadapan dengan serangan berita palsu yang ditularkan di laman sosial yang dibuat pihak tertentu untuk menangguk di air keroh, penularan berita palsu ternyata sekali telah menimbulkan suasana resah di kalangan masyarakat sepatutnya kita sebagai rakyat Malaysia hendaklah menapis terlebih dahulu berita yang didapati dari media sosial untuk pastikan kesahihannya.”tambahnya lagi.
Penyebaran berita-berita palsu menerusi laman-laman sosial adalah merupakan satu tindakan yang tidak bermoral dan bermotifkan kepentingan politik semata-mata. Khalayak menjadi resah dan bimbang serta boleh mengugat keharmonian dan kesejahteraan kehidupan rakyat.
-NAZ