
Laporan/foto: Hamidah Md Drus (Kuala Pilah)/Muhammad Nabilsyafiq Mohd Hamzah (Pejabat Menteri Besar Negeri Sembilan)
KUALA PILAH, 30 Jan (Malaysiaaktif) – Seramai 64 orang peserta FELCRA Kampung Malan, Johol menerima geran tanah dalam Majlis Penyerahan Hak Milik Peserta Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (FELCRA) Kampung Malan di Dewan FELCRA Berhad, Wilayah Tengah Melang, di sini semalam.
Rabibah Amin, 81, antara penduduk FELCRA Kampung Malan di Johol yang menerima geran berkenaan menyatakan rasa syukur akan penerimaan tersebut.
âWalaupun terpaksa menunggu sehingga 39 tahun, penantian itu berbaloi bila akhirnya dapat memiliki geran tanah ini,â ujarnya.
Menurut Kalthom Mansor pula, beliau merupakan generasi ketiga Kampung Malan ini yang mengusahakan tanaman kelapa sawit dan pihak FELCRA ketika ini membuat projek tanaman semula untuk peserta.
“Walaupun saya tidak menetap di FELCRA Kampung Malan kerana mengikut anak, namun saya sangat sayangkan tanah dan kebun ini kerana ia satu-satunya harta peninggalan datuk saya,” ujarnya ketika ditemui.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun, berkata kerajaan negeri akan memastikan tiada lagi peneroka yang dinafikan hak untuk memiliki geran, khususnya peneroka asal yang banyak berkorban membuka penempatan baru.
Aminuddin turut mengingatkan agar pemilik geran tidak berkira-kira untuk menjual tanah tersebut serta pemiliknya perlu mempertahankan aset terutama hartanah yang ada supaya dapat diwarisi generasi akan datang.
“Jika benar ingin dijual tanah tersebut, jual sahaja kepada anak-anak atau waris terdekat kerana kerajaan negeri amat prihatin dengan keperluan masyarakat luar bandar untuk memiliki aset sendiri,” ujarnya ketika merasmikan program berkenaan.
Projek FELCRA Kampung Malan merupakan Tanah Rancangan Pinggir (RTP) yang pada awalnya mengusahakan tanaman getah dan telah dibuka pada tahun 1981 dengan keluasan asal 321 hektar.
Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Datuk Razali Ab Malek, Ketua Pegawai Eksekutif FELCRA Berhad, Mohd Nazrul Izam Mansor dan Pengurus Besar FELCRA Berhad Wilayah Tengah, Nor Zahari Zakaria.
-AK