
Laporan/foto: Siti Noorezrin Mahmod/Ramasamy Amas (Jempol)
JEMPOL, 30 Jan (Malaysiaaktif) – Perkhidmatan bas percuma di daerah ini telah memulakan operasinya pada 21 Januari yang lalu dan boleh dinikmati dengan lebih meluas hingga ke Bandar Seri Jempol.
Perkhidmatan tersebut merupakan laluan terbaharu yang bermula dari Taman Tuanku Puan Chik melalui Bahau sehingga ke Bandar Seri Jempol, melibatkan kawasan seperti Sekolah Dato Mansor, Sekolah Menengah Kebangsaan Bahau, Kolej Komuniti Jempol, kompleks kerajaan dan Hospital Jempol, bermula dari 6.30 pagi hingga pukul 5.30 petang dengan kekerapan setiap satu jam.
Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun, berkata program tersebut merupakan inisiatif kerajaan negeri dengan kerjasama syarikat GTT Liner Sdn Bhd bagi kemudahan masyarakat sekitar.
“Kerajaan negeri berharap perkhidmatan bas percuma ini dapat digunakan dengan sepenuhnya oleh warga Jempol supaya inisiatif kerajaan negeri benar-benar memberi manfaat buat rakyat di negeri ini” ujarnya ketika berucap di Majlis Perasmian Bas Percuma Daerah Jempol di Dataran Majlis Pebandaran Jempol, di sini semalam,
Tambah beliau lagi, perkhidmatan ini bukan sahaja untuk memudahkan perjalanan rakyat negeri ini, malah ianya juga dapat membantu rakyat menjimatkan kos sara hidup dan seterusnya mengurangkan beban golongan yang kurang berkemampuan.
Dalam perkembangan terbaharu, Aminuddin berkata kerajaan negeri telah menghantar permohonan untuk menaiktaraf Jalan Bahau – Keratong kepada kerajaan pusat dan diharapkan agar kelulusan dapat diberikan demi kesejahteraan rakyat.
-AK