
Laporan/ foto: Maherah Marina Mahusin/ Shuhaimi Ahmad (Kuala Terengganu)
Kuala Terengganu, 23 Jan (Malaysiaaktif) – Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad Baharuddin Shah sentiasa mengingatkan kepada masyarakat setempat agar tidak menyebar berita palsu terutamanya melalui media sosial kerana hal ini boleh mengancam perpaduan kaum dan agama di negara ini.
Katanya lagi, berita palsu yang telah tersebar banyak memberi impak yang negatif kepada masyarakat pelbagai kaum dan agama di negara kita dan sekiranya berita itu telah diperbetulkan, ianya tetap memberi kesan kerana ada segelintir masyarakat yang masih yakin dan percaya dengan berita palsu yang di tular itu.
“Kerajaan perlulah bertindak tegas dalam menangani isu penyebaran berita palsu dan antara jabatan kerajaan yang mampu membantu menangani masalah ini ialah Jabatan Penerangan Malaysia,” katanya selepas menyampaikan cenderahati kepada masyarakat Tiong Hua sempena sambutan Tahun Baru Cina di Kampung Cina, baru-baru ini.
Tambah beliau, usaha Jabatan Penerangan dapat dilihat hari ini dengan aktiviti turun padang bersama beliau dengan membawa bahan-bahan penerbitan mengenai dasar-dasar kerajaan dan diagihkan kepada orang ramai. Tindakan ini sedikit sebanyak mampu memberi gambaran sebenar mengenai usaha kerajaan memakmurkan negara.

Agihan bahan-bahan penerbitan dasar negara dan kalendar tahun baharu 2020 keluaran Jabatan Penerangan Malaysia
Raja Kamarul Bahrin berkata, kerajaan pada hari ini sedang berusaha memulihkan sistem ekonomi negara dan percaya keadaan ekonomi yang agak suram dapat dipulihkan dengan kerjasama rakyat.
Tambah beliau lagi, perpaduan kaum dan agama berkait rapat dengan kemakmuran negara dan justeru itu penyebaran berita palsu boleh menggugat keamanan dan seterusnya merosakkan ekonomi negara.

Peniaga sekitar Kampung Cina menerima sedikit cenderahati daripada Raja Kamarul Bahrin yang diiringi oleh Penolong Pengarah Jabatan Penerangan Terengganu, Saharuddin Mohamed
Sehubungan itu, beliau berharap sempena sambutan Tahun Baru Cina pada tahun ini, rakyat Malaysia terus menikmati kehidupan yang lebih makmur dan sejahtera serta bertoleransi antara sesama kaum.
Sebelum itu, Raja Kamarul Bahrin bersarapan bersama orang ramai di Warung Kelana, Batu Buruk.
Di situ, beliau juga sempat beramah mesra dengan pengunjung warung dan bertanya khabar mereka. Turut sama pada program itu ialah Penolong Pengarah Jabatan Penerangan Negeri Terengganu, Saharuddin Mohamed.
-ii-