
Laporan/foto: Muhammad Azrul Hafiz Mohamad Nazri/Rahimah Rafiai (Batu)
KUALA LUMPUR, 16 Jan (Malaysiaaktif) – Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad mengumumkan sejumlah RM30 juta diperuntukkan melalui Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk membangunkan semula Pasar Sentul dengan mengekalkan nilai sejarah sedia ada.
“Peruntukan DBKL ini adalah untuk memastikan keselesaan peniaga serta penduduk sekitarnya,” ujarnya pada Majlis Penyampaian Sumbangan Mangsa Kebakaran Pasar Sentul, di sini Selasa lalu.
Inisiatif pembangunan ini merupakan hasil perbincangan antara Ahli Parlimen Batu, P. Prabakaran bersama Khalid Samad dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan.
Menurut Khalid, pihaknya masih dalam proses perbincangan dan rundingan dengan pemilik tanah, peniaga dan pemaju kerana ia juga melibatkan proses pelebaran jalan.
“Pihak kami sedang berunding dengan pihak pemaju dan peniaga di pasar berkenaan dan dijangka perundingan akan selesai dalam tahun ini.
“Sebaik sahaja selesai rundingan, kira-kira 200 peniaga Pasar Sentul ini akan dipindahkan ke tapak sementara bagi memberi laluan kepada projek pembinaan semula,” katanya lagi.

Ahli Parlimen Batu, P. Prabakaran meninjau tapak Pasar Sentul yang terbabit dalam kebakaran pada awal Januari ini.
Tambah Khalid, sekiranya projek pembinaan semula itu diluluskan ia akan mengambil masa setahun hingga satu setengah tahun untuk disiapkan.
DBKL juga akan memperuntukkan sebanyak RM250,000 untuk membaik pulih gerai berkunci Pasar Sentul yang terjejas akibat kebakaran pada 31 Disember lalu.
“Gerai-gerai tersebut akan dibaik pulih dalam tempoh masa tiga bulan di tapak sedia ada dan peniaga telah bersetuju untuk tidak menjalankan perniagaan sepanjang tempoh tersebut.
“Namun, jika ada peniaga yang ingin berniaga mereka perlu memberi cadangan tapak sementara untuk kelulusan DBKL,” tambahnya.
Terdahulu seramai 19 mangsa kebakaran telah menerima sumbangan bernilai RM3,000 setiap seorang hasil sumbangan DBKL, Yayasan Wilayah Persekutuan dan Pejabat Ahli Parlimen Batu untuk menampung perbelanjaan harian mangsa bagi tempoh tiga bulan berkenaan.
-SH