
Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Jeffrey Nian (Labuan)
LABUAN, 23 Jan (Malaysiaaktif) – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Labuan akan membuat rondaan jalan raya dan kawasan pesisir pantai sebanyak lapan kali dalam tempoh 24 jam setiap hari.
Menurut Pengarah JBPM Labuan, Jainal @ Zainal Madasin, usaha itu adalah sebahagian daripada pengisian Kempen Keselamatan Kebakaran dan Rondaan Jalan Raya Sempena Musim Perayaan Tahun Baharu Cina 2020.
“Rondaan ini bertujuan memastikan keselamatan jalan raya dan sebarang aktiviti air di pesisir pantai dapat dihindarkan daripada sebarang perkara buruk yang tidak diingini.
“Antara kawasan rondaan ialah di jalan-jalan utama bandar Labuan, kawasan-kawasan kampung, kawasan perindustrian, jalan Patau-Patau dan Rancha-Rancha, Pantai Damai Layangan, pesisir pantai di kawasan Kg Pohon Batu dan Batu Manikar, pesisir pantai kawasan Kompleks Sukan Laut Antarabangsa Labuan serta pesisir pantai Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan,” katanya yang ditemui sempena pelancaran kempen tersebut, di sini semalam.
JBPM juga katanya membuat pemeriksaan di premis-premis tumpuan utama orang ramai untuk memeriksa sistem pemasangan keselamatan supaya berada dalam keadaan baik antaranya tangga keluar kecemasan, alat pemadam api, penggera kebakaran dan lain-lain lagi.
“Pengedaran risalah-risalah kebombaan juga turut diedarkan di lokasi-lokasi terpilih seperti di stesen-stesen minyak sekitar Labuan bagi memberikan kesedaran kepada masyarakat tentang bahaya kebakaran,” katanya lagi.
Dalam pada itu, JBPM turut menyerahkan Sijil Perakuan Bomba kepada sebuah pasar raya di sini atas pematuhan kepada syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh jabatan itu tentang keperluan pepasangan keselamatan kebakaran di premis berkenaan.
“Sijil ini mengiktiraf mana-mana premis yang telah mematuhi kehendak-kehendak pemasangan keselamatan kebakaran seperti mana yang dinyatakan dalam Undang-Undang Kecil Bangunan Seragam (UBBL) dan akan diperbaharui setiap tahun.
“Alat pemadam api juga akan diagihkan mengikut keperluan terutamanya kepada mana-mana premis yang dilihat mempunyai risiko tinggi terdedah kepada bahaya kebakaran,” tambahnya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Labuan Datuk Rozman Isli, berkata kempen tersebut penting kerana boleh mengingatkan masyarakat mengenai kepentingan menjaga keselamatan semasa tibanya musim perayaan terutama bagi mereka yang meninggalkan rumah semasa balik ke kampung halaman masing-masing.
-SH