Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanJohor

Lawatan Kerja Sehari Delegasi Kerajaan Johor Ke Daerah Bersejarah 1528

By 20 Januari 2020Tiada komen4 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto : Norasilah Ibrahim/Shahqrul Azim Shaari (Kota Tinggi)

KOTA TINGGI, 20 Jan (Malaysiaaktif) – Delegasi Kerajaan Johor yang diketuai oleh Menteri Besar Johor Datuk Dr. Sahruddin Jamal, telah membuat lawatan kerja sehari ke daerah Kota Tinggi, di sini, semalam.

Lawatan kerja yang julung kali diadakan ini adalah bagi melawat ke beberapa lokasi di daerah Kota Tinggi seperti Santuari Gajah, air terjun, menyusuri Sungai Johor, menyampaikan geran kepada para peneroka Felda Lok Heng Selatan dan sesi perjumpaan bersama Pegawai Daerah Kota Tinggi dan ketua-ketua jabatan di peringkat negeri dan daerah.

MB Johor mendengar taklimat yang disampaikan oleh Pegawai Daerah Kota Tinggi.

MB Johor mendengar taklimat yang disampaikan oleh Pegawai Daerah Kota Tinggi.

Pegawai Daerah Kota Tinggi Farizal Ismail, menerangkan bahawa daerah Kota Tinggi ini pada asalnya dibuka oleh Sultan Alauddin Riayat Shah II pada tahun 1528 di mana ia merupakan daerah yang tertua di Negeri Johor serta menyimpan pelbagai khazanah dan sejarah untuk tatapan generasi masa kini dan akan datang.

Farizal turut menyampaikan taklimat mengenai pembangunan daerah bersejarah ini di samping membentangkan laporan kemajuan projek-projek pembangunan yang dijalankan dan penyelesaian isu-isu yang berbangkit.

“Beberapa cadangan telah dikemukakan bagi mengatasi masalah-masalah yang berlaku di daerah ini seperti penyelesaian masalah bekalan air di Loji Rawatan Air (LRA) Lok Heng dengan cara mendapatkan bekalan air dari LRA Gembut.

Delegasi Kerajaan Johor di bawa menaiki bot menyusuri Sungai Johor.

Delegasi Kerajaan Johor di bawa menaiki bot menyusuri Sungai Johor.

“Turut dicadangkan cara untuk mengatasi masalah kesesakan yang sering berlaku dengan menaiktaraf jalan bypass Kota Tinggi dari dua lorong kepada empat lorong serta masalah ternakan lembu yang sering berkeliaran di sekitar Jalan Sungai Mas-Felda Lok Heng bagi mengelakkan berlakunya kemalangan pada waktu malam,” katanya.

Delegasi turut di bawa menaiki bas bagi meninjau Santuari Gajah Kota Tinggi yang dijangka beroperasi pada pertengahan tahun ini yang mana santuari ini dibina bagi menempatkan gajah-gajah liar di daerah ini yang sering menganggu ketenteraman penduduk setempat.

Datuk Dr. Sahruddin Jamal menyampaikan geran hak milik kepada 243 peneroka FELDA Lok Heng Selatan.

Datuk Dr. Sahruddin Jamal menyampaikan geran hak milik kepada 243 peneroka FELDA Lok Heng Selatan.

Menteri Besar Johor juga turut meluluskan peruntukan sebanyak RM1 juta bagi membaik pulih semula kawasan air terjun Kota Tinggi yang rosak akibat bencana banjir pada hujung tahun lalu agar ia dapat berfungsi seperti sediakala dan kembali menjadi tarikan pelancong.

Pada sesi lawatan ini juga, beliau turut menyempurnakan penyampaian geran hak milik kepada 243 peneroka Felda Lok Heng Selatan.

Salah seorang penerima, Zubaidah Ramadan, 55, dari Blok 12 Felda Lok Heng Selatan merasa begitu gembira dan terharu kerana penantian selama 32 tahun telah berakhir.

Zubaidah Ramadhan, salah seorang penerima merasa gembira kerana penantian selama 32 tahun untuk memiliki geran telah berakhir.

Zubaidah Ramadhan, salah seorang penerima merasa gembira kerana penantian selama 32 tahun untuk memiliki geran telah berakhir.

“Sukar untuk diungkapkan perasaan gembiranya saya pada hari ini, rasa seperti ingin menyambut Hari Raya Puasa di mana persediaan telah dibuat sejak dari awal pagi dengan mengenakan pakaian serba baru.

“Kami para peneroka juga bersatu hati membuat pakaian yang sama khas untuk dipakai bagi menghadiri Majlis Penyampaian Geran Hak Milik kepada 243 Peneroka Felda Lok Heng Selatan yang telah kami tunggu selama 32 tahun ini,” ujarnya lagi.

Sepanjang sesi lawatan ini juga para delegasi turut di bawa menyusuri Sungai Johor dari Jeti Kampung Makam sehingga ke Jeti Telok Sengat selama 45 minit.

Menurut Dr. Sahruddin, Sungai Johor adalah lokasi baharu yang sesuai untuk dijadikan sebagai hub pelancongan di daerah Kota Tinggi dengan keindahan alam semulajadinya, kepelbagaian ekosistem dan juga kota-kotanya yang bersejarah.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Johor Dato’ Azmi Rohani, Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor, Wakil-Wakil Rakyat, Pegawai-Pegawai Kerajaan Negeri dan Ketua-Ketua Jabatan.

 

-NI-

Tinggalkan komen anda