Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Jeffrey Nian (Labuan)
LABUAN, 3 Jan (Malaysiaaktif) – Lebih 100 acara bakal memeriahkan pengisian kempen Tahun Melawat Malaysia 2020 (VM2020) di Wilayah Persekutuan Labuan.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan (PL) Dr. Fary Akmal Osman, PL dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Pusat Penerangan Pelancongan Labuan, agensi-agensi kerajaan dan swasta akan membuat penambahbaikan dalam tiga aspek bagi acara-acara yang akan dijalankan sepanjang VM2020.
“Kita akan menambah baik dan menganjurkan acara-acara baharu berimpak tinggi dan bertaraf antarabangsa antaranya Pertandingan Joran Antarabangsa, Festival Layang-Layang serta Pertandingan Golf bagi menarik lebih ramai pelancong ke Labuan.
“Kita juga bangunkan produk-produk pelancongan baharu seperti sembilan kawasan geopark yang sudah dikenal pasti selain menjadikan Labuan sebagai hub bagi penggemar aktiviti menyelam di Pulau Layang-Layang dan lima kawasan kapal karam di perairan sini.
“PL juga akan mengadakan perbincangan dengan syarikat penerbangan luar bagi mengenal pasti kekangan untuk membawa penerbangan antarabangsa sekaligus pelancong luar ke Labuan,” katanya ketika ditemui selepas menyambut ketibaan pelancong di Lapangan Terbang Labuan dan Terminal Feri Antarabangsa Labuan, di sini baru-baru ini.
Tambahnya, selain sembilan acara utama, Labuan juga akan menerima kunjungan duta-duta asing pada bulan Mac untuk menarik pelaburan ke pulau itu.
“Kita akan menekankan aspek publisiti bagi mempromosi acara-acara yang besar seperti Hari Wilayah, Cabaran Sukan Laut Antarabangsa Labuan (LISC) dan 60 pelbagai acara sukan pelancongan sekaligus memberi impak ekonomi baharu Labuan,” katanya lagi.
Sementara itu, Ahli Parlimen Labuan Datuk Rozman Isli, berkata Labuan memerlukan suntikan peruntukan yang banyak bagi meneruskan momentum pembangunan sektor pelancongan Labuan.
“Kita sudah dapat lihat momentum sektor pelancongan Labuan sudah berjalan cukup baik dan peruntukan yang cukup diperlukan untuk memanfaatkan potensi-potensi produk pelancongan seperti penambahbaikan peralatan serta infrastruktur bagi penganjuran LISC bagi menarik lebih ramai penyertaan dari luar negara.
“Hadiah-hadiah wang tunai juga perlu ditambah sesuai dengan taraf acara antarabangsa dan diharap Labuan menerusi Kementerian Wilayah Persekutuan mendapat lebih peruntukan daripada cukai pelancongan memandangan Wilayah Persekutuan antara penyumbang besar kepada cukai pelancongan di Malaysia,” katanya.
Pada majlis tersebut, kumpulan pertama pelancong yang tiba di Labuan disambut dengan persembahan kebudayaan terdiri daripada tarian dan muzik tradisional tempatan seperti kulintangan serta diberikan cenderahati dan kalendar acara pelancongan Labuan 2020.
Turut hadir, Ketua Polis Daerah Labuan Superitendan Muhamad Farid Ahmad, dan Pengurus Pusat Penerangan Pelancongan Labuan Nor Hidayah Mohd Nor.
-SH