Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)
RAWANG, 8 Jan (Malaysiaaktif) – Waris seorang rakyat Malaysia yang meninggal dunia di Jordan bulan Disember lalu, gembira dan terharu ketika dikunjungi Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Rawang untuk menyerahkan Faedah Pengurusan Mayat (FPM).
Normala Abdul Rahman, 46, berkata faedah daripada Perkeso tersebut merupakan satu-satunya manfaat yang diperolehi berbanding lain-lain caruman arwah suaminya, Hamidi Muhram.
“Arwah meninggal di luar negara dan banyak proses yang perlu dilakukan untuk mendapatkan dokumen-dokumen berkaitan termasuk sijil kematian yang masih tidak diperolehi, namun Perkeso telah menyerahkan faedahnya.
“Saya berterima kasih kepada Perkeso yang sangat prihatin kerana sanggup datang ke rumah membantu selesaikan urusan ini. Jika diikutkan saya kusut kerana banyak yang perlu difikirkan,” kata ibu kepada empat orang anak ini.
Normala yang merupakan suri rumah berkata arwah suaminya adalah penerima pencen ilat sebelum ini sejak 2016 kerana masalah mata kesan penyakit kencing manis yang dihadapinya.
“Arwah telah selesai mengerjakan umrah dan dalam perjalanan ke Palestin untuk mengunjungi Masjid Al-Aqsa dan singgah sebentar di Jordan bagaimana pun, arwah meninggal dunia akibat serangan jantung dan dikebumikan di Jordan,” jelasnya.
Sementara itu, Pengurus Perkeso Rawang, Zamri Draman, berkata pihaknya mengambil tindakan segera setelah mengetahui tentang kematian Hamidi dalam media sosial.
“Kami mendapat maklumat daripada media social tentang kematian arwah dan Skuad Prihatin Perkeso (SPP) yang bertindak segera menguruskan faedah-faedah yang sepatutnya diperolehi oleh waris.
“Balu arwah juga bakal menerima pencen penakat berjumlah RM1,917.50 sebulan sepanjang hayatnya. Bayaran tersebut masih tertangguh kerana sijil kematian belum diterima. Kita akan membantu pihak waris untuk mempercepatkan proses itu,” jelasnya.
Beliau berkata demikian semasa ditemui selepas menyerahkan FPM yang disampaikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rawang, Chua Wei Kiat.
-NAZ