Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraKedah

Malam Apresiasi APM Penghargaan Buat Anggota dan Jabatan Kerajaan

By 14 Januari 2020Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mahazir Abu Hassan/Mohd Rasidi Che Sa (Baling)

BALING, 14 Jan (Malaysiaaktif) – Malam Apresiasi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Baling diadakan bagi menghargai sumbangan yang diberikan oleh Pegawai, anggota-anggota APM serta ketua-ketua jabatan yang banyak membantu Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) sepanjang tahun 2019.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Negeri Kedah Lt. Kol (PA) Awang Askandar Ampuan Yaacob, berkata sepanjang tahun 2019 bencana banjir banyak berlaku di Daerah Baling.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada ketua-ketua jabatan, penghulu, pihak media serta orang perseorangan yang memberi  sumbangan dan kerjasama membantu pihak APM mengatasi sesuatu bencana, dan tanpa kerjasama ini menyebabkan bantuan kepada mangsa tidak akan berjalan lancar,” katanya ketika berucap di Dewan Kompleks Rakan Muda Batu 42, di sini semalam.

Ketua Penolong Pegawai Daerah Baling Mohd Shazarulazwan Sarip, berkata Daerah Baling amat bertuah kerana semua ketua jabatan memberi perhatian penuh apabila sesuatu bencana berlaku.

“Tahniah diucapkan kepada APM atas penganjuran Malam Apresiasi ini kerana dapat menghargai ketua-ketua jabatan serta orang perseorangan yang bertungkus lumus membantu mangsa-mangsa banjir,” katanya ketika berucap mewakili Pegawai Daerah Baling.

Turut diadakan ialah anugerah dan penghargaan kepada anggota-anggota APM yang cemerlang merangkumi beberapa kategori yang diundi melalui sistem dalam talian.

Anggota Sukarela Tugas Pejabat (ASTP) Siti Muazah Azemi, berkata beliau amat bersyukur dan terharu dianugerahkan ASTP terbaik.

“Terima kasih kepada Pegawai dan rakan-rakan sekerja yang memberikan kepercayaan dalam menjalankan tugas yang diamanahkan dan dengan penghargaan ini dapat menjadi pemangkin semangat untuk terus melaksanakan tugas yang diarahkan,” katanya ketika ditemui.

Turut hadir Penyelaras Parlimen Baling Mohd Taufik Yaacob, Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Baling Leftenan (PA) Mohd Faizol Ab Aziz, Ketua Polis Daerah Baling Superintendan Syed Basri Syed Ali dan ketua-ketua jabatan Daerah Baling.

-SH

Tinggalkan komen anda