
Laporan/foto: Noor Shazana Shaadan/Leazmi Leman (Port Dickson)
PORT DICKSON, 29 Jan (Malaysiaaktif) – Masyarakat perlu bijak dalam memilih berita yang sahih dari sumber yang boleh dipercayai.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Perpaduan, Penerangan dan Integrasi Nasional Negeri Sembilan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Lukut Choo Ken Hwa, berkata masyarakat boleh mendapatkan maklumat sahih dari sumber yang rasmi seperti Jabatan Penerangan.
“Sesetengah pihak suka menyebarkan berita yang tidak benar dan penyebaran berita sebegini akan menganggu ketenteraman orang ramai.
“Jangan mudah percaya dan terus sebar berita yang diperoleh dari laman sosial seperti Facebook, sebaliknya periksa kesahihannya sebelum berkongsi dengan orang lain,” katanya ketika turut serta bersama Pejabat Penerangan Daerah Port Dickson dalam program Info on Wheel (IOW) di Pekan Lukut, di sini, semalam.
Tambah beliau lagi penyebaran maklumat yang tepat dan sahih adalah sangat perlu bagi memastikan rakyat memahami situasi sebenar serta dapat melaksanakan pencegahan terutama dalam isu semasa seperti wabak Novel Koronavirus.
“Usaha Jabatan Penerangan dalam menyampaikan maklumat melalui aktiviti turun padang sebegini harus diteruskan agar masyarakat tidak mudah percaya dengan khabar angin,” ujarnya.
Mengulas lanjut mengenai isu wabak Novel Koronavirus, beliau berkata kerajaan telah mengambil langkah yang muktamad dan proaktif melalui mesyuarat khas kabinet.
“Bagi sektor pelancongan dan perhotelan agensi pelancongan telah disarankan untuk mengambil langkah segera dalam mencegah penularan wabak ini supaya tidak menganggu sektor ini,” katanya lagi.
Sementara itu, Jabatan Penerangan Malaysia melalui Pejabat Penerangan Daerah telah giat melaksanakan hebahan dan penerangan kepada masyarakat di akar umbi dengan melaksanakan program IOW untuk menyampaikan maklumat yang tepat secara bersemuka.
Turut sama, Pegawai Penerangan Daerah Port Dickson, Norhaidah Md Esa.
-AK