Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Maszlee Letak Jawatan Sebagai Menteri Pendidikan

By 2 Januari 2020Tiada komen3 minit bacaan

PUTRAJAYA, 2 Jan (Malaysiaaktif) – Dr Maszlee Malik hari ini mengumumkan peletakan jawatan beliau sebagai Menteri Pendidikan berkuat kuasa esok.

Beliau mengumumkan keputusannya meletak jawatan itu pada sidang media pada 4.30 petang di pejabatnya di kementerian itu di sini.

Maszlee, 45, yang merupakan Ahli Parlimen Simpang Renggam, telah meluangkan sebahagian besar daripada masanya pagi ini untuk meninjau keadaan pada hari pertama sesi persekolahan tahun ini di Kuala Lumpur.

Maszlee berkata beliau mengadakan pertemuan dengan Tun Dr Mahathir Mohamad serta mendapatkan nasihat Perdana Menteri hari ini sebelum mengumumkan keputusannya.

“Atas nasihat beliau yang merupakan bagi saya seorang ayahanda, pemimpin dan seorang negarawan ulung, dan di atas dasar ketaatan dan disiplin kepada kepimpinan parti dan kerajaan, maka saya dengan hati yang redha walaupun berat, dengan nasihat Perdana Menteri, saya Maszlee Malik memulangkan semula jawatan sebagai Menteri Pendidikan kepada Perdana Menteri berkuat kuasa 3 Januari 2020,” katanya.

“Saya percaya sebagai negarawan ulung dan berpandangan jauh, beliau memahami apa yang lebih baik kepada negara,” katanya.

Maszlees berkata sebagai individu bukan dari latar belakang politik, beliau amat berterima kasih kepada Dr Mahathir atas peluang yang diberikan kepadanya selama 20 bulan untuk mengemudi Kementerian Pendidikan.

Sepanjang menjawat jawatan itu, katanya, beliau telah melakukan yang terbaik untuk negara dan sedar dengan latar belakang sebagai aktivis akademia bukan sesuatu yang mudah untuk mengemudi sebuah kementerian yang besar.

Maszlee percaya beliau telah meletakkan asas dan hala tuju yang jelas untuk dituruti warga KPM yang terhimpun dan tersemat kemas dalam tiga kalimah keramat ‘Pendidikan Untuk Semua’.

“Saya percaya keputusan ini bukanlah pengakhiran, sebaliknya sebuah permulaan yang baharu.

“Percayalah reformasi negara tidak akan pernah berjaya tanpa menjadikan kebajikan rakyat sebagai tumpuan paling utama,” katanya.

Beliau turut menyatakan pendirian, sokongan dan ketaatan yang tidak berbelah bahagi kepada Perdana Menteri dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) serta kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Sementara itu, Maszlee berkata walaupun KPM telah mencapai pelbagai kejayaan dalam tempoh 20 bulan sejak PH mengambil alih tampuk kepimpinan negara, namun perhatian lebih tertumpu kepada isu-isu kontroversi seperti pengajaran Jawi, internet sekolah dan program sarapan percuma.

Katanya KPM sering menjadi perhatian media, kumpulan-kumpulan tertentu dan ahli politik yang membangkitkan isu-isu sensasi berbanding kejayaan-kejayaan yang dicapai kementerian itu.

“Apa yang berlaku dalam tempoh 20 bulan ini tidak dapat dicapai dalam tahun-tahun sebelum ini. Perubahan-perubahan dalam tempoh ini begitu signifikan dan indah untuk kita kongsikan.

“Tetapi malangnya ia tidak mendapat perhatian untuk tajuk berita. Banyak tajuk sensasi lebih mewarnai, isu-su sensitif sengaja diperbesarkan lebih menjadi pilihan utama,” katanya.

Maszlee sebelum itu menguraikan tentang pencapaian KPM, antaranya hampir 90 peratus projek sekolah daif siap lebih awal dengan kemajuan dipaparkan secara telus di laman sesawang kementerian, polisi sifar keciciran bagi kanak-kanak tiada dokumen, mengurangkan beban guru dan meningkatkan ketelusan bagi membendung gejala rasuah.

Sidang media yang turut disertai kepimpinan tertinggi kementerian termasuk timbalannya Teo Nie Ching, mendapat perhatian pengamal media susulan khabar angin peletakan jawatannya beberapa jam sebelum itu.

Sejurus tamat sidang media itu, Maszlee yang kelihatan sebak meninggalkan perkarangan KPM dengan memandu sendiri kenderaan peribadinya.

-BERNAMA

Tinggalkan komen anda