Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

PGA7 Rampas Syabu dan Barang Seludup Bernilai RM10.6 juta

By 15 Januari 2020Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

PUTRAJAYA, 15 Jan (Malaysiaaktif) – Batalion Ketujuh Pasukan Gerakan Am (PGA7) berjaya merampas pelbagai jenis barangan seludup termasuk dadah bernilai RM10.6 juta menerusi Ops Wawasan sepanjang pertengahan Disember 2019 sehingga hari ini.

Pegawai Pemerintah PGA7, Supt Azhari Nusi berkata, kejayaan paling besar adalah rampasan 110kg dadah dipercayai syabu bernilai RM7 juta pada 24 Disember tahun lepas.

Dalam tempoh sama, 44 kes berkaitan aktiviti penyeludupan dan jenayah rentas sempadan direkodkan di seluruh Kelantan, katanya sambil menambah rampasan itu dipercayai terbesar oleh PGA Briged Tenggara dalam tempoh lebih lima tahun.

“Kami akan terus menjalankan operasi pembanterasan terutama dadah, senjata api dan pendatang tanpa izin di sepanjang sempadan Malaysia-Thailand di sini,” katanya kepada pemberita pada sidang media di Markas Taktikal PGA Lubok Setol, di Pasir Mas semalam.

Azhari berkata, kerjasama pelbagai agensi penguat kuasa termasuk Polis Diraja Malaysia, Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Jabatan Kastam Diraja Malaysia menghasilkan rampasan paling tinggi.

“Ia membabitkan kes polis RM7.1 juta, RM1.4 juta (Jabatan Veterinar) manakala Jabatan Kastam Diraja Malaysia mencatatkan rampasan bernilai RM1.1 juta.

Kesemua rampasan dan tangkapan ini adalah hasil kerja keras anggota dan pegawai PGA7 yang sentiasa memberikan tumpuan ke atas sebarang maklumat dan pergerakan di sekitar sempadan,” katanya.

Terkini, Azhari berkata 1,853 kampit beras dan 1,500 botol minuman tenaga bernilai hampir RM6,000 dipercayai diseludup dari negara jiran dirampas di Jalan Besar Bunohan, Cabang Empat, Tumpat dirampas pada 3.30 petang semalam.

Katanya, beras dan botol minuman tenaga ditemui di dalam van yang ditinggalkan oleh seorang lelaki berdekatan kawasan semak samun selepas menyedari diekori pasukan keselamatan.

“Siasatan mendapati kesemua barangan ini dibawa masuk melalui pangkalan haram untuk pasaran tempatan. Semua barang rampasan itu dibawa ke Balai Polis Kuala Jambu untuk tindakan lanjut oleh JKDM,” katanya.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda