Laporan/foto: Farhana Azlin Lajis/Fatin Nabila Muktar (Langkawi)
LANGKAWI, 20 Jan (Malaysiaaktif) – Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) atas usaha mereka merealisasikan Inisiatif 5G di negara ini.
“Ia merupakan komponen penting bagi Malaysia kerana 5G mempunyai kuasa untuk mempromosikan pelbagai perkhidmatan baru, meningkatkan kecekapan serta pembuatan bagi merangsang inovasi di seluruh negara.”
“Sejak dilancarkan pada April tahun lalu, persediaan untuk menggunakan 5G telah berkembang dengan pesat, dan saya gembira untuk menyatakan bahawa Malaysia berada dalam landasan yang betul untuk melancarkan 5G secara komersial pada suku ketiga tahun 2020.
“Ini menandakan permulaan yang ketara dalam perjalanan negara kita ke arah mengukuhkan ekonomi bagi mencapai pertumbuhan yang kukuh,” katanya semasa Pelancaran Projek Demonstrasi 5G Malaysia di Pusat Konvensyen Antarabangsa Langkawi (LICC), di sini malam tadi.
Menurut Dr Mahathir, selari dengan dasar kerjasama sedemikian beliau berbangga kerana melalui Projek Demonstrasi 5G ini, ia telah mengenal pasti 100 kes kegunaan yang mana pada hari ini, sebanyak 72 kes kegunaan 5G di 56 tapak secara langsung di enam negeri iaitu Kedah, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Perak, Selangor, Terengganu dan Pulau Pinang.
“Penumpuan 5G dan pelbagai sektor industri seperti pertanian, pendidikan, penjagaan kesihatan, pembuatan, pengangkutan pintar dan pelancongan menyediakan peluang baharu kepada industri, masyarakat dan individu untuk memajukan cita-cita digital masing-masing serta memberikan perkhidmatan baharu dan lebih baik.
“Teknologi akan terus mengubah kaedah orang melakukan sesuatu perkara, tambahan pula kita sedang berdepan dengan risiko ketinggalan jika kita tidak mahu berubah, sebaliknya zaman sekarang menawarkan sesuatu yang baharu dan menarik serta peluang yang tidak dapat diukur sekiranya kita tidak mampu menyainginya,” katanya lagi.
Beliau juga menyentuh mengenai keperluan untuk meningkatkan kemahiran tenaga kerja negara serta melengkapkan diri dengan kemahiran masa depan.
“Kesediaan organisasi untuk membuka pintu kepada orang lain serta berkongsi amalan terbaik akan mempercepatkan penerimaan Revolusi Perindustrian Keempat dan membuka kepada manfaat yang boleh dicipta oleh pengeluar,” tambahnya.
Turut hadir, isteri Perdana Menteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo dan Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia Al-Ishsal Ishak.
-SH