Laporan/ foto: Mohd Zahari Zakaria(Seberang Perai Tengah)
PENANTI, 12 Jan (Malaysiaaktif) – Sebuah rumah hangus dijilat api di dalam kebakaran yang berlaku di Kampung Guar Jering, Penanti, Permatang Pauh.
Kebakaran yang berlaku sekitar jam 8.00 pagi tadi turut menyebabkan kemusnahan 2 buah kereta melibatkan sebuah keluarga yang menghuni di sebuah rumah kampung milik sendiri.
Menurut Penghulu kawasan, Wan Abdul Hamid, bantuan awal diberikan oleh pihak Jabatan Kebajikan Daerah seperti bantal, selimut, tikar, kain pelikat, kain batik, kain tuala dan kit bencana.
“Selain itu bantuan pemulihan juga akan dipertimbangkan selepas laporan polis dibuat dan buat masa ini, mangsa kebakaran dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara di Dewan Banjir Kampung Guar Jering ,” katanya lagi.
Antara jabatan dan agensi yang terlibat memberi bantuan kecemasan ini adalah Bomba, TNB, Polis, Pejabat Parlimen Permatang Pauh, Pejabat ADUN Penanti, Pejabat Daerah dan Tanah, Jabatan Kebajikan Masyarakat Daerah, APM dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK).
Jumlah kerugian akibat kebakaran ini masih belum dipastikan lagi oleh pihak berkuasa.
-II-