Laporan/foto: Parimala Devi Suppiah/Abd Halim Jumat (Jelebu)
JELEBU, 2 Feb (Malaysiaaktif) – “Kerajaan telah mengambil beberapa insiatif untuk mengurangkan beban rakyat terutamanya golongan B40.
“Antara insiatif tersebut ialah ‘Bazar Peduli Rakyat’ anjuran Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Klawang dengan kerjasama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM),” ujar Ahli DUN Klawang, Bakri Sawir ketika melancarkan Bazar Peduli Rakyat di Perkarangan Pusat Khidmat DUN Klawang, di sini baru-baru ini.
Menurut Bakri, ia merupakan projek bagi mempromosi produk dan hasil keluaran usahawan tempatan selain daripada menyediakan ruang pasaran tambahan dan peluang meneroka pasaran baru bagi meningkatkan pendapatan dengan jualan terus kepada pengguna tanpa penglibatan orang tengah.
“Kita juga mengharapkan agar penganjuran bazar seumpama ini dapat meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat terutamanya golongan B40 dengan meningkatkan kuasa membeli dapat serta dapat mendorong peniaga lain yang berhampiran untuk sama-sama menurunkan harga,” katanya.
Tambah beliau lagi, bazar yang beroperasi setiap hari Jumaat minggu keempat tersebut juga dapat membantu usahawan sektor pertanian dan agro makanan khususnya untuk meningkatkan pendapatan melalui pewujudan ruang pasaran dan lokasi perniagaan baru.
Seramai 29 peniaga yang terdiri daripada usahawan bimbingan jabatan dan agensi serta usahawan persendirian yang melibatkan 35 buah lot niaga telah mengambil bahagian menyertai bazar tersebut.
Disamping itu juga, kaunter perkhidmatan pelanggan FAMA, Jabatan Pertanian, Jabatan Perikanan, LKIM dan agensi-agensi kerajaan yang lain turut dibuka bagi memudahkan rakyat untuk mendapatkan perkhidmatan dan penerangan oleh agensi terbabit.
Majlis Perasmian Bazar Peduli Rakyat Jelebu ini akan disempurnakan oleh Menteri Besar Negeri Sembilan pada 28 Februari 2020 akan datang, di sini.
– AK