
Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Perbadanan Labuan (Labuan)
LABUAN, 10 Feb (Malaysiaaku) – Program CSR Sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2020 – Seni Pembuatan Balm Organik merupakan salah satu program di bawah Inisiatif Mensejahterakan Rakyat.
Menurut Isteri kepada Menteri Wilayah Persekutuan, Dr. Zaitun Abu Bakar, cetusan idea Menteri Wilayah Persekutuan itu khusus bagi membantu golongan B40 di Wilayah Persekutuan samada di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.
“Program yang bersifat kemasyarakatan dan kerjaya ini bermatlamat membantu komuniti setempat khususnya golongan wanita yang menetap di Labuan yang tidak mempunyai pekerjaan untuk keluar dari masalah ketiadaan sumber pendapatan dan belenggu kemiskinan.
“Bersesuaian dengan objektif program iaitu memberi ilmu pengetahuan, berkongsi kemahiran serta teknik pembuatan balm organik dengan kos yang rendah, anda mampu menghasilkan balm organik anda sendiri tanpa perlu membeli dan memasarkannya melalui perniagaan dalam talian,” katanya semasa merasmikan program tersebut di Dewan Serbaguna Perbadanan Labuan, di sini baru-baru ini.
Beliau berharap agar semua peserta yang hadir dapat mempelajari serta mempraktikkan kemahiran yang dipelajari dan dalam masa yang sama dapat menjana pendapatan.
“Kebanyakan penguna pada hari ini lebih cenderung untuk membeli barangan berasaskan organik untuk kegunaan sendiri yang tiada bahan pengawet mahupun bahan kimia.
“Melalui usaha yang dilaksanakan ini sekali gus dapat membantu mengubah struktur ekonomi golongan B40, suri rumah serta mereka yang masih tidak mempunyai pekerjaan untuk menjana pendapatan tambahan kepada keluarga meskipun hanya diusahakan di rumah,” katanya lagi.
Menurut Zaitun, bawah program Inisiatif Mensejahterakan Rakyat, kementerian telah menganjurkan pelbagai program peningkatan ekonomi yang berfokuskan kepada golongan B40 di Wilayah Persekutuan ini.
-SH