
Laporan/foto: Haniza Harun (Melaka)
MELAKA, 17 Feb (Malaysiaaktif) – Program rangsangan digital berjumlah RM450 juta yang telah diumumkan oleh Kementerian Kewangan Malaysia dalam Belanjawan 2020 telah mendapat respons baik dari kalangan masyarakat.
Menurut pemilik Restoran Sri Mawar Ria, Melaka Sentral, Ridzuan Yeoh, 68, transaksi pembayaran lebih mudah dan selamat kerana hasil jualan terus masuk ke akaun perniagaannya tanpa risau memikirkan tentang keselamatan wang di mesin tunai.
“Restoran saya menerima pembayaran secara e-dompet menerusi platform Touch n’ Go eWallet dan Boost, dan penggunaan kaedah itu hanya popular dalam kalangan pelanggan muda dengan jumlah pengguna ketika ini masih rendah.
“Bagi saya, e-tunai ini mudah penggunaannya untuk kedua-dua pihak sama ada peniaga atau pelanggan tetapi teknologi itu hari ini masih baharu kepada rakyat negara ini, khususnya golongan berusia, namun saya percaya ia akan menjadi satu perkara biasa dalam tempoh beberapa tahun lagi dan lebih ramai akan menggunakannya,” katanya yang juga seorang pesara guru.
Manakala bagi penjawat awam, Farah Azman, penggunaan e-Tunai ini bukan sahaja memudahkan urus niaga malah menguntungkan kerana adanya cash back, diskaun dan ganjaran menarik apabila melakukan transaksi secara atas talian.
“Kita dapat mengawal pembelanjaan dengan menetapkan jumlah amaun tambah nilai mengikut keperluan disamping dengan e-Tunai kita tidak perlu membawa wang tunai berlebihan lantas mengurangkan risiko dirompak,” ujarnya.
-KN