
Laporan/foto: Muhamad Nawawi Kasa/Azam Mat Awi (Pendang)
PENDANG, 18 Feb (Malaysiaktif) – Penglibatan pihak polis dalam kawasan sekolah melalui Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) di semua sekolah di Malaysia merupakan satu jalinan kolaborasi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam usaha menangani permasalahan displin serta salah laku murid melalui program Jom ke Sekolah.
Timbalan Ketua Polis Negeri Kedah, Datuk Muhammad Azlee Abdullah, menegaskan agar semua pihak dapat mengekang penularan ideologi atau dakyah ajaran sesat, radikalisme, ekstremisme dan terrorism daripada menyerap masuk ke dalam sekolah.
“Tanggungjawab kita adalah untuk memastikan murid-murid tidak dimanipulasi oleh golongan-golongan tertentu dalam memperjuangkan agenda subversif mereka.
“Dalam masa yang sama, kami berharap agar komuniti sekolah dan pihak yang berkaitan, dapat bekerjasama untuk terus membimbing generasi muda, agar mereka tidak mudah terpesong dan sebaliknya menjadi modal insan yang cemerlang dan disanjung tinggi,” katanya ketika ditemui sempena Program Jom ke Sekolah peringkat Negeri Kedah, di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pendang, di sini semalam.
Menurut Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Kedah, Abd Aziz Selaiman, program ini merupakan satu aspirasi serta komitmen pihak KPM bersama-sama PDRM bagi membuktikan keberkesanan kedua-dua pihak dalam usaha penguatkuasaan undang-undang dan mencegah salah laku dalam kalangan murid.
Dalam pada itu, pelajar SMK Pendang, Nurhanani Izzati Rosli, 19, berkata kerjasama yang tersusun dan bersistematik antara pihak sekolah, ibu-bapa dan PDRM, dilihat mampu membendung isu salah laku sosial,
dadah dan perlakuan jenayah daripada terus menular.
“Setiap Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) yang dilantik hendaklah sentiasa bekerjasama dengan Persatuan Ibu Bapa dan Guru, serta memberikan khidmat nasihat kepada pihak sekolah, berhubung tindakan yang wajar diambil, sekiranya berlaku sebarang kejadian jenayah melibatkan para pelajar,” kata pelajar tingkatan enam ini.
-SH