Laporan/ foto: Intan Saziana/ Rose Rasidi (Cameron Highlands)
CAMERON HIGHLANDS, 22 Feb (Malaysiaaktif) – Wabak Coronavirus (COVID-19) menjadi isu sensasi kepada dunia umumnya dan oleh yang demikian, kerajaan Malaysia khususnya menggiatkan pelbagai usaha dalam memberi maklumat kepada rakyat terutamanya berkaitan langkah-langkah penjagaan agar situasi wabak ini dapat dibendung. Selain usaha kerajaan melalui penggeraknya iaitu jabatan dan agensi kerajaan, pihak swasta juga tidak terkecuali dalam usaha ini.
Menurut Penolong Pengurus sebuah institusi perbankan Cawangan Cameron Highlands, Khairil Sobhi Idris, pusat operasinya yang berpusat di Tanah Rata telah memulakan usaha membendung wabak Coronovirus ini melalui pendekatan awal iaitu melalui kaedah saringan kesihatan kepada pelanggan yang tiba di premis.
“Setibanya pelanggan ke pusat operasi kami iaitu di Tanah Rata, pegawai khidmat pelanggan kami akan terus meletakkan peralatan mengesan suhu badan kepada pelanggan di dahi bagi mengenal pasti tahap suhu badan individu itu. Jika pihak kami dapat mengesan terdapat pelanggan yang mempunyai suhu kepanasan yang tinggi, pihak kami akan menasihati pelanggan agar terus ke hospital atau klinik berdekatan bagi mendapatkan rawatan selanjutnya dengan kadar segera,
“Inisiatif ini sedikit sebanyak dapat membendung penularan jangkitan demam dan seterusnya dapat menghalang individu yang disyaki menghidap wabak Coronovirus dari menjangkiti orang lain yang berada di premis kami,” ujarnya.
Manakala terdapat juga premis-premis perniagaan yang lain turut membekalkan topeng mulut dan hidung secara percuma kepada pelanggan yang singgah membeli-belah.
Menurut salah seorang pelanggan, Ooi Kheng Chai, beliau sangat menyokong usaha yang dijalankan oleh pihak swasta dalam membendung penularan wabak Covid-19.
“Bagus jika semua pusat perniagaan yang memberi perkhidmatan pelanggan melaksanakan usaha seperti ini kerana faktor kesihatan sangat penting kepada semua, ditambah dengan isu wabak Covid-19 yang menakutkan dan merisaukan orang ramai,” ujarnya lagi.
Antara jabatan kerajaan yang meneruskan usaha memberi maklumat kepada masyarakat ialah Pejabat Penerangan Daerah Cameron Highlands yang melaksanakan pengedaran bahan-bahan penerbitan mengenai Covid-19 dan taklimat ringkas kepada masyarakat berkaitan langkah-langkah penjagaan daripada dijangkiti wabak ini kerana maklumat yang sahih perlu dihebahkan kepada masyarakat umum.
-KN